CANDREVA (kiri) menjaringkan gol kedua Inter di San Siro. — FOTO Reuters
CANDREVA (kiri) menjaringkan gol kedua Inter di San Siro. — FOTO Reuters
AFP

LAUTARO Martinez dan Antonio Candreva menyumbat gol pada setiap babak untuk mengukuhkan harapan Inter Milan layak ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas menang 2-0 ke atas pencabar Kumpulan F, Borussia Dortmund awal pagi tadi.

Penyerang Argentina, Martinez meneruskan rentak cemerlangnya menjaringkan gol selepas 22 minit di San Siro, namun terlepas peluang menambah gol kedua menerusi sepakan penalti lapan minit sebelum tamat.

Candreva memastikan tiga mata seminit sebelum tamat untuk melonjakkan anak buah Antonio Conte dari tangga tercorot Kumpulan F sesudah tewas 1-2 di Barcelona dan seri 1-1 dengan Slavia Prague.

Inter menyertai Dortmund dengan empat mata manakala Barcelona mendahului kumpulan dengan tujuh mata daripada tiga perlawanan.

“Kami sedar kami perlu bangkit selepas meraih hanya satu mata sebelum malam ini,” kata Conte.

ESPOSITO (tengah) dikepit dua pemain Dortmund, Mats Hummels (kiri) dan Julian Weigl. — FOTO Reuters
ESPOSITO (tengah) dikepit dua pemain Dortmund, Mats Hummels (kiri) dan Julian Weigl. — FOTO Reuters

“Kemenangan ini mencerahkan peluang kami untuk layak dalam kumpulan yang amat sukar.

“Saya gembira terutama buat pemain saya. Mereka berjuang musim lalu untuk meraih tempat ke Liga Juara-Juara dan pengalaman beraksi perlawanan sebegini, dengan stadium yang penuh dan penyokong yang ramai.

“Kini mengenai bagaimana kami mahu meraih keputusan yang diperlukan di Dortmund. Barcelona dan Dortmund pilihan dalam kumpulan ini, tapi kini terpulang kepada kami.”

Conte memberikan penampilan sulung Liga Juara-Juara buat pemain berusia 17 tahun, Sebastiano Esposito yang masuk selepas sejam menggantikan penyerang Belgium, Romelu Lukaku yang gagal mencetus impak.

Ketika Alexis Sanchez cedera, Esposito kekal di Milan sekali gus tidak beraksi buat Itali pada Piala Dunia B-17 di Brazil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 11:43 AM