GARCIA ikat kontrak sehingga 2021. - FOTO AFP
GARCIA ikat kontrak sehingga 2021. - FOTO AFP
Reuters

BEKAS jurulatih Olympique de Marseille dan AS Roma, Rudi Garcia dilantik mengendalikan Olympique Lyonnais, menurut kenyataan kelab Ligue 1 itu hari ini.

"Olympique Lyonnais mengesahkan pelantikan Rudi Garcia sebagai jurulatih bermula hari ini,” menurut OL dan berkata jurulatih itu mengikat kontrak sehingga 2021.

Garcia, 55, menggantikan pengendali dari Brazil, Sylvinho yang dipecat minggu lalu selepas Lyon gagal meraih kemenangan selepas menang dua aksi pertama Ligue 1 musim ini.

Pada 2011, Garcia dipilih jurulatih terbaik liga selepas membawa Lille gelaran berganda dengan menjuarai Ligue 1 dan Piala Perancis.

Dia kemudiannya membawa Roma meraih tempat kedua Serie A pada 2014.

Garcia berpindah ke Marseille pada 2016 dan meninggalkan kelab itu penghujung musim lalu selepas membawa mereka ke final Liga Europa 2018.

Dia akan berada di bangku simpanan ketika menentang bekas salah sebuah kelabnya, Dijon pada Sabtu ini.

OL kini menduduki tangga ke-14 Ligue 1 dengan sembilan mata daripada sembilan perlawanan dan meraih empat mata dalam aksi Liga Juara Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 11:38 PM