Todt berharap dapat menonton grand prix bersama Schumacher satu hari nanti. FOTO fail REUTERS
Todt berharap dapat menonton grand prix bersama Schumacher satu hari nanti. FOTO fail REUTERS
AFP/EJ

BEKAS bos Formula Satu Jean Todt masih menaruh harapan untuk menyaksikan perlumbaan Grand Prix bersama bekas juara dunia yang masih koma, Michael Schumacher ‘satu hari nanti’.

Schumacher, 50, masih tidak kelihatan di tempat awam sejak mengalami kecederaan kepala selepas terbabit dalam insiden luncur salji di Perancis pada Disember 2013.

“Tiada berita lain melainkan Michael sedang bertarung setiap hari untuk memperbaiki situasi,” kata Todt kepada akhbar harian Itali, La Repubblica, hari ini.

Todt yang juga presiden Persekutuan Otomobil Antarabangsa (FIA), adalah bekas pengarah Ferrari ketika Schumacher meraih lima daripada tujuh juara dunia.

Dia masih rakan rapat kepada pemandu Jerman itu serta keluarganya.

“Jelas sekali kami perlu membantunya dan berharap, katakan, perkembangan yang memberangsangkan,” kata bekas pemandu kereta rali Peugeot berusia 73 tahun itu.

“Saya bercakap perkara benar. Saya menyaksikan Grand Prix di televisyen bersamanya. Saya berharap kami dapat bersama-sama menyaksikan Grand Prix satu hari nanti.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 8:32 PM