MANE (dua kiri) menuding jari ke arah bangku simpanan selepas digantikan di Turf Moor. — FOTO Reuters
MANE (dua kiri) menuding jari ke arah bangku simpanan selepas digantikan di Turf Moor. — FOTO Reuters
Reuters

PENYERANG Liverpool, Sadio Mane meradang di bangku simpanan selepas digantikan ketika menang 3-0 di Burnley awal pagi tadi namun pengurus Juergen Klopp pantas menyatakan semuanya kembali normal.

Mane, yang membantu kemenangan Liverpool dengan gol kedua pada minit ke-37, jelas kelihatan berang ketika digantikan hanya dua minit selepas rakan sepasukan Mohamed Salah tidak mengumpan kepadanya dalam kotak penalti.

Salah mencuba melakukan jaringan secara individu dan tidak menghantar bola kepada pemain Senegal itu yang tidak dikawal dan apabila Mane dikeluarkan dia tidak dapat mengawal perasaannya di bangku simpanan.

“Dia kecewa, ia jelas, Sadio tidak boleh menyembunyikan emosinya, saya sukakannya tapi semuanya sudah diselesaikan, kami bercakap mengenainya di bilik persalinan,” kata Klopp, yang menegaskan Mane tidak bertindak begitu kerana dikeluarkan.

PENYERANG Liverpool, Roberto Firmino (kanan) menenangkan Mane yang berang di bangku simpanan. — FOTO Reuters
PENYERANG Liverpool, Roberto Firmino (kanan) menenangkan Mane yang berang di bangku simpanan. — FOTO Reuters

“Semuanya sudah OK, kami individu, kami mempunyai emosi, ia situasi dalam perlawanan, apa saja boleh berlaku, ia bukannya panggilan telefon, ada situasi dalam perlawanan dia tidak gembira mengenainya dan kemudian semuanya baik belaka,” kata pengendali dari Jerman itu.

Liga Perdana kini berdepan rehat tugasan antarabangsa dan Klopp berseloroh ia masa yang tepat.

“Dalam tempoh seminggu tiada siapa akan ingat lagi,” katanya sambil tersenyum.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 10:33 AM