WAN-Bissaka (kiri) dan  Mings menambat perhatian Southgate. - FOTO Agensi
WAN-Bissaka (kiri) dan Mings menambat perhatian Southgate. - FOTO Agensi
Reuters

PENGURUS England, Gareth Southgate menyenaraikan empat pemain baharu bagi menghadapi aksi kelayakan Euro 2020 menentang Bulgaria dan Kosovo bulan hadapan.

Pertahanan kanan Manchester United, Aaron Wan-Bissaka, pertahanan tengah - Tyrone Mings dari Aston Villa, pemain tengah Leicester City - James Maddison dan pemain Chelsea, Mason Mount berpeluang menyarung jersi England buat kali pertama.

Pemain yang dipanggil kembali ialah Kieran Trippier yang berpindah dari Tottenham Hotspur ke Atletico Madrid, pemain tengah Spurs, Harry Winks dan pemain Liverpool, Alex Oxlade-Chamberlain tetapi tiada tempat buat pemain Manchester City, Kyle Walker.

"Kami ada lapan perlawanan sebelum menamakan skuad menghadapi Kejohanan Eropah. September selalunya tempoh yang sukar menamakan pemain kerana kekurangan perlawanan di peringkat kelab,” katanya.

"Kecergasan aspek paling utama ketika kami mahu melihat pemain muda yang menyerlah dalam saingan liga.”

Wan-Bissaka berpindah ke United dari Crystal Palace dan mula mencipta impak bersama kelab baharunya.

"Kami memantaunya sejak tahun lalu. Dia pantas menyesuaikan diri dan tidak hairan dia menjadi idaman kelab besar. Beraksi di hadapan 70,000 penyokong sudah pasti memberikan tekanan tetapi itu tampak bukan masalah kepadanya,” kata Southgate.

Penyenaraian semula Oxlade-Chamberlain agak mengejutkan selepas dia baharu sahaja cergas sepenuhnya susulan kecederaan panjang musim lalu.

"Kami yakin dia mampu tersenarai dalam kesebelasan menghadapi Piala Dunia,” kata pengurus England itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 10:48 PM