PEMAIN Serdang Angels meraikan kejayaan muncul juara.
PEMAIN Serdang Angels meraikan kejayaan muncul juara.
Meor Riduwan Meor Ahmad


KUALA LUMPUR: Menepati ramalan, pasukan Serdang Angels muncul juara menewaskan UiTM Lions di perlawanan akhir Ragbi Super 8 IPT 2019 yang berlangsung di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), petang semalam.

Ia kejayaan keenam berturut-turut diraih pasukan bimbingan jurulatih Khairizal Ali Amat.

Bermula garang di separuh masa pertama, tuan rumah selesa mendahului lawan 14-5 menerusi dua ‘try’ dan dua conversion.

Bersambung babak kedua, Serdang Angels terus mengukuhkan kedudukan dengan menambah tiga lagi try dan tiga conversion untuk muncul juara dengan mata 35-8.

UiTM Lions dilihat cuba memberi cabaran namun, Serdang Angels nyata terlalu ampuh dan hanya memperoleh penalti untuk menambah tiga mata.

“Alhamdulillah, lima perlawanan di peringkat kumpulan hingga ke final hari ini (semalam) kami menang semua. Peringkat awal permainan agak mencabar, mungkin kerana pemain terlalu berhati-hati dan belum dapat menyerap suasana perlawanan akhir menyebabkan kami hanya skor 14 mata,” kata Khairizal.

Menurutnya, bersambung babak kedua, beliau mengingatkan pemain supaya mengekalkan momentum dan tingkatkan tempo permainan hingga berjaya menguasai perlawanan peringkat awal.

“Tumpuan saya selepas ini kepada perlawanan tempatan dan hujung minggu terutama tujuh sebelah kerana ini kejohanan institusi pendidikan terakhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:11 AM