PERTEMBUNGAN antara Serdang Angels (jersi merah) dengan MSP Hornets pada peringkat kumpulan di padang UPM, Serdang, hari ini. — FOTO SIPMA
PERTEMBUNGAN antara Serdang Angels (jersi merah) dengan MSP Hornets pada peringkat kumpulan di padang UPM, Serdang, hari ini. — FOTO SIPMA
Meor Riduwan Meor Ahmad


PASUKAN ragbi Serdang Angels dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan UiTM Lions menepati ramalan mara ke separuh akhir selepas tamat aksi peringkat kumpulan Kejohanan Ragbi Super 8 Institusi Pengajian Tinggi, hari ini.

Serdang Angels yang juga juara lima kali kejohanan itu mara selepas menewaskan MSP Hornets yang layak ke separuh akhir tahun lalu 36-0.

Sebelum itu, Serdang Angles yang diperkuat tiga pemain kebangsaan, Khairul Abdillah Ramli, Lawrence Perus dan Hafizin Aiman Halim ternyata terlalu gagah apabila membelasah UTP Drillers 98-0 dan IIUM Mustangs 55-20 untuk mengungguli Kumpulan A.

Naib juara tahun lalu, UiTM Lions yang turut dibarisi dua pemain kebangsaan, Faris Pead dan Danial Noor Hamidi, terlebih dulu mengesahkan tempat ke separuh akhir menang semua tiga perlawanan pada peringkat kumpulan.

UiTM Lions muncul juara Kumpulan B selepas menewaskan UM Blues 44-7, MASKOM Eagles 38-5 dan UniKL RC 53-6 untuk bertemu naib juara Kumpulan A, MSP Hornets.

Menanti Serdang Angels pada separuh akhir adalah Maskom Eagles yang melakar kejutan mara ke separuh akhir buat kali pertama.

Kejohanan Ragbi Super 8 IPT disertai lapan pasukan terdiri daripada empat pasukan mewakili Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), dua pasukan Majlis Sukan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (MASISWA) dan masing-masing satu Majlis Sukan Politeknik (MSP) dan Majlis Sukan Kolej Komuniti (MASKOM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 9:15 PM