Aqil (kanan) dan Azreen bersama pingat masing-masing. FOTO SIPMA
Aqil (kanan) dan Azreen bersama pingat masing-masing. FOTO SIPMA
Saiful Affendy Sapran


MUHAMMAD Aqil Yasmin memegang gelaran raja pecut Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) selepas mengetepikan pemegang rekod kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan yang mewakili MSSM, hari ini.

Khairul, memegang rekod kebangsaan acara 100 meter dengan catatan 10.18 saat (s), jelas masih lagi bergelut dengan prestasi selepas turut hambar di Kejohanan Olahraga KOM, Jumaat lalu.

Sebaliknya Muhammad Aqil yang juga memegang status raja pecut Sukan Universiti Asean (AUG) di Myanmar, Disember tahun lalu, nyata lebih menyerlah meskipun sekadar mencatatkan masa 10.76s untuk merangkul emas pada saingan yang berlangsung di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Khairul Hafiz turut melakar catatan masa sama, merangkul perak selepas 'photo finish' mengesahkan Muhammad Aqil selaku pemenang.

Aqil (dua dari kanan) menewaskan Khairul Hafiz (kanan). FOTO SIPMA
Aqil (dua dari kanan) menewaskan Khairul Hafiz (kanan). FOTO SIPMA

Gangsa milik wakil MSSM, Muhammad Zulfiqar Ismail dengan catatan 10.78s.

Sementara itu atlet MSSM, Azreen Nabila Alias dinobatkan selaku ratu pecut selepas melakukan catatan 12.39s.

Pingat perak dimenangi pelari pecut MSSM, Chelsea Cassiopea dengan catatan 12.49s manakala gangsa milik wakil MASISWA, S Shameta Iliana Raj yang melakukan catatan 13.03s.

Kejayaan itu adalah yang kedua diraih Muhammad Aqil dan Azreen selepas masing-masing memenangi acara 100 meter di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) tahun lalu di Perak.

Acara olahraga bermula semalam dengan MASUM merangkul lima emas diikuti MSSM empat emas dan MASISWA satu emas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 7:44 PM