HAFIZH dijangka beraksi di GP Silverstone 25 Ogos ini.
HAFIZH dijangka beraksi di GP Silverstone 25 Ogos ini.
Saiful Affendy Sapran


PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah dijangka tidak berdepan masalah untuk kembali beraksi pada Grand Prix Silverstone, 25 Ogos ini.

Pelumba yang turut dikenali sebagai Pescao itu dibenarkan keluar dari hospital apabila pemeriksaan ke atas gegaran di kepala yang dialami selepas terbabit kemalangan di Grand Prix (GP) Austria, Ahad lalu, tidak serius.

“Hafizh sudah keluar dari hospital. Dia terpaksa menjalani pembedahan kecil di siku kanannya. Dia akan menjalani proses pemulihan dan dijangka kembali cergas sepenuhnya untuk perlumbaan di Silverstone,” kata Red Bull KTM Tech 3 menerusi satu kenyataan, semalam.

Dalam laporan Arena Metro, pengurus pasukan Red Bull KTM Tech 3, Herve Poncharal menyuarakan kebimbangan terhadap prestasi Hafizh sejak pelumba itu kembali daripada cuti panjang.

Katanya Hafizh nampak gementar dan mungkin cuba mempamer prestasi lebih daripada kebiasaannya.

Ia adalah kali kedua berturut-turut Hafizh gagal menamatkan perlumbaan selepas GP Republik Czech, 4 Ogos lalu.

Kegagalan menamatkan perlumbaan kelmarin juga adalah yang keempat dialami Hafizh musim ini dan dia kekal mengutip tiga mata selepas 11 pusingan.

Masa depan pelumba negara itu masih mencetuskan persoalan selepas kontraknya tidak disambung Red Bull KTM Tech 3, tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 4:15 AM