Hafizh sudah keluar hospital. FOTO KTM Red Bull
Hafizh sudah keluar hospital. FOTO KTM Red Bull
Saiful Affendy Sapran


PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah dijangka tidak berdepan masalah untuk kembali beraksi pada Grand Prix Silverstone, England pada 25 Ogos depan.

Pelumba yang mendapat gelaran Pescao itu disahkan sudah keluar dari hospital selepas mengalami gegaran di kepala ketika Grand Prix (GP) Austria, Ahad lalu.

"Hafizh sudah keluar dari hospital selepas mengalami gegaran di kepala dan pembedahan kecil untuk kecederaan di siku kanan.

"Dia melalui proses pemulihan dan akan kembali cergas sepenuhnya untuk perlumbaan di Silverstone," kata Red Bull KTM Tech 3, hari ini.

Pengurus pasukan Red Bull KTM Tech 3, Herve Poncharal menerusi laporan Arena Metro semalam menyuarakan kebimbangan dengan prestasi Hafizh sejak kembali daripada cuti panjang.

Katanya Hafizh nampak agak gementar dan mungkin cuba untuk mempamer prestasi lebih daripada kebiasaannya.

Ia adalah kali kedua berturut-turut Hafizh gagal menamatkan perlumbaan selepas GP Republik Czech pada 4 Ogos lalu.

Kegagalan menamatkan perlumbaan kelmarin juga adalah yang keempat dialami Hafizh pada musim ini dan dia kekal mengutip tiga mata selepas 11 pusingan.

Masa depan pelumba negara itu masih mencetuskan persoalan selepas kontraknya tidak disambung oleh Red Bull KTM Tech 3 pada tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 5:54 PM