Agensi

KESILAPAN Simon Mignolet ketika seri 2-2 menentang Sporting Lisbon memaksa Jurgen Klopp menimbangkan semula posisinya dalam kesebelasan utama Liverpool.

Kesilapan ‘ala Loris Karius’ dilakukan oleh penjaga gol kedua Reds membolehkan sepakan jauh Bruno Fernandes melepasinya ketika perlawanan baru empat minit ketika skuad itu beraksi pada perlawanan jelajah pra-musim di Amerika Syarikat di New York, semalam.

Pemain antarabangsa Belgium itu diberikan peluang untuk menyerlah pada aksi terakhir Liverpool tetapi gagal pada halangan pertama.

Fernandes dikaitkan perpindahan ke Manchester United, membuat sepakan seolah-olah bola menuju tepat ke dakapan Mignolet.

Bagaimanapun, ia melantun mengenai tangannya sebelum masuk melepasi garisan pintu gol.

Gol menyebabkan penjaga gol Belgium berusia 31 tahun itu kemudian tercegat di pintu gol seperti kebingungan.

Divock Origi meledak gol pertama Liverpool 16 minit kemudian selepas penjaga gol Sporting gagal menahan tandukan Jordan Henderson yang disudahkan oleh pemain Belgium itu.

Georginio Wijnaldum menjadikan kedudukan 2-1 sebelum babak pertama berakhir dan Wendel menyamakan kedudukan buat kelab Portugal itu di babak kedua.

Liverpool kembali ke England untuk berdepan Napoli dan Lyon sebelum aksi Perisai Komuniti bertemu Manchester City.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 7:03 PM
Mignolet tersilap jangkaan menyebabkan Liverpool bolos gol pertama. FOTO AFP
Mignolet tersilap jangkaan menyebabkan Liverpool bolos gol pertama. FOTO AFP