SEMANGAT juang anak buahnya menjadi kebanggan pengendali AS Roma, Eusebio Di Francesco walaupun tewas dengan agregat 7-6 kepada Liverpool dalam separuh akhir kedua Liga Juara-Juara awal pagi tadi. FOTO REUTERS
SEMANGAT juang anak buahnya menjadi kebanggan pengendali AS Roma, Eusebio Di Francesco walaupun tewas dengan agregat 7-6 kepada Liverpool dalam separuh akhir kedua Liga Juara-Juara awal pagi tadi. FOTO REUTERS
Reuters

PENGENDALI AS Roma, Eusebio Di Francesco bangga dengan semangat juang anak buahnya selepas mereka menewaskan Liverpool 4-2 pada aksi timbal balik separuh akhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi, walaupun tewas dengan agregat 7-6.

Roma menewaskan Barcelona 3-0 di laman sendiri untuk memadam defisit 4-1 pada aksi suku akhir tetapi dua gol jaringan Radja Nainggolan tidak cukup untuk menjelmakan satu lagi kebangkitan menakjubkan.

“Tahun ini kami melakukan sesuatu yang luar biasa,” kata Di Francesco. “Apa lagi yang boleh kami buat?

“Liverpool tidak merampas apa-apa daripada kami. Mereka bermain seperti sebuah pasukan yang hebat. Pasukan yang menang, menang daripada semua aspek.

“Perlu ada lebih banyak perlawanan seperti ini. Cukup menakjubkan melihat penyokong malam ini. Saya minta maaf kerana tidak dapat memberikan malam yang ajaib.”

Roma ketinggalan selepas gol pembukaan Sadio Mane tetapi menyamakan kedudukan hasil jaringan sendiri James Milner.

Georginio Wijnaldum kembali meletakkan Liverpool di depan tetapi Roma yang memerlukan empat gol untuk memadamkan kelebihan lawan, bangkit di babak kedua menerusi jaringan Edin Dzeko dan dua gol Nainggolan.

Ia bagaimanapun tidak mencukupi untuk menghadiahkan final pertama Kejuaraan Eropah buat Roma sejak 1984, di mana mereka tewas kepada Liverpool di laman sendiri.

Sementara itu, Pengarah Sukan Roma, Monchi menggesa Video Bantuan Pengadil (VAR) digunakan dalam Liga Juara-Juara selepas mendakwa pengadil melakukan beberapa kesilapan pada aksi separuh akhir itu.

“VAR perlu digunakan. Saya tidak faham mengapa tiada VAR dalam perlawanan penting ini,” kata Monchi yang mendakwa mereka sepatutnya mendapat dua sepakan penalti dan gol Liverpool pada perlawanan pertama sebenarnya ofsaid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 8:41 AM