Ferzalfie Fauzi


KETIKA segalanya tidak kena buat pemain badminton negara di pusingan pertama Terbuka Jepun, hari ini, Soniia Cheah muncul penyelamat menceriakan apabila mengalahkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2012, Li Xuerui.

Soniaa menduduki ranking ke-35 dunia terpaksa berhempas-pulas hampir sejam di Musashino Forest Sport Plaza sebelum berjaya menjinakkan bekas pemain nombor satu dunia itu dengan kemenangan 21-18, 19-21, 21-17.

"Saya rasa kami berdepan kesukaran kerana perlawanan terlalu sengit.

Lawan saya bermain dengan baik. Apa yang bezanya tuah hari ini menyebelahi saya," kata Soniia ketika dihubungi Arena Metro.

Pemain berusia 26 tahun itu akan berdepan satu lagi halangan sukar pusingan kedua, esok apabila menentang pilihan kedua juga dari China, Chen Yufei.

"Setakat ini saya gembira kerana memenangi perlawanan pusingan pertama dan untuk esok saya hanya akan memberikan segala-galanya ketika berdepan Yufei," katanya.

Kecemerlangan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang mengalahkan Chen Long di pusingan kedua Terbuka Indonesia minggu lalu seakan semakin pudar apabila dia kalah mengejut kepada Lee Cheuk Yiu dari Hong Kong, 19-21, 21-15, 19-21.

Nasib sama juga menimpa beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang mempamerkan aksi cemerlang di Jakarta tapi tewas awal kepada Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich dari Jerman 18-21, 21-23.

Dua beregu lelaki profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Arif Latif-Azriyn Ayub turut ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama apabila tumpas kepada lawan masing-masing.

V Shem-Wee Kiong yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 kalah kepada Wahyu Nayaka-Ade Yusuf (Indonesia) 22-24, 10-21 manakala Arif-Azriyn tumpas kepada pilihan kedua dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 21-18, 13-21, 8-21

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 4:25 PM