YEN WEI (kiri) dan Tang Jie berjaya menumpaskan pasangan Taiwan, Jhe Huei-Ya Ching di Terbuka Hylo. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
YEN WEI (kiri) dan Tang Jie berjaya menumpaskan pasangan Taiwan, Jhe Huei-Ya Ching di Terbuka Hylo. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu campuran badminton negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei memulakan kempen Terbuka Hylo dengan langkah kanan apabila mara ke pusingan kedua kejohanan yang berlangsung di Saarbrucken, Jerman, sebentar tadi.

Pasangan itu terpaksa memerah kudrat untuk mencipta kemenangan terhadap pasangan dari Taiwan Lee Jhe Huei-Hsu Ya Ching 18-21, 21-14, 21-14.

Pada pertemuan itu, pasangan negara terlebih dahulu dikejutkan dengan permainan pantas lawan sekali gus terpaksa akur tewas 18-21.

Namun, mereka bangkit pada dua set kemudian untuk memastikan kemenangan berpihak kepada pasangan itu 21-14 dan 21-14.

Selain itu, turut mengiringi ke pusingan seterusnya adalah gandingan beregu wanita profesional, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien.

Namun bukan mudah buat beregu wanita negara itu untuk melangkah ke pusingan seterusnya apabila diheret ke set penentuan sebelum mencatat kemenangan terhadap pasangan Denmark Alexandra Boje-Mette Poulsen 21-23, 21-18, 21-17.

Turut mara ialah beregu lelaki profesional, Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong yang menumpaskan pasangan Jepun, Takuto Inoue-Kenya Mitsuhashi 21-10, 21-15

Sementara itu, pencapaian cemerlang itu gagal diiringi oleh pasangan beregu profesional negara, Goh V Shem-Low Juan Shen apabila tewas kepada lawannya dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 21-19, 19-21, 15-21.

Nasib sama turut menimpa dua pasangan beregu negara membabitkan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi selaku pilihan kelima kejohanan dan Kian Meng-Lai Pei Jing yang terkandas seawal pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 12:25 AM