PEMAIN Perak,Amirul Azhan Aznan (kiri) tidak akan diturunkan pada aksi suku akhir kedua kerana melangsungkan perkahwinannya. - Foto Effendy Rashid
PEMAIN Perak,Amirul Azhan Aznan (kiri) tidak akan diturunkan pada aksi suku akhir kedua kerana melangsungkan perkahwinannya. - Foto Effendy Rashid
Azizan Hashim


PERAK tidak dapat menurunkan kapten, Shahrul Mohd Saad dan Amirul Azhan Aznan apabila membuat perhitungan dengan PKNS FC pada suku akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, malam esok.

Khidmat Shahrul terpaksa dilupakan akibat penggantungan manakala Azhan pula melangsungkan perkahwinannya, esok.

Perkara itu dimaklumkan jurulatih Perak, Mehmet Durakovic selepas latihan terakhir pasukan The Bos Gaurus.

"Agak malang kami tidak akan mendapat khidmat mereka berdua dalam perlawanan penting ini. Ketiadaan mereka akan dirasai kerana mereka adalah kesebelasan utama Perak," katanya ketika ditemui hari ini.

Bagaimanapun, Durakovic berkata, perjuangan pasukan terpaksa diteruskan dan berharap siapa yang diberi peranan mengisi kekosongan dua posisi itu akan melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

Buat masa ini, Durakovic enggan mendedahkan identiti pemain yang akan bergandingan dengan Nazirul Naim Che Hashim dan Robert Cornwaithe di benteng pertahanan nanti.

"Apa yang pasti perlawanan ini akan menentukan hala tuju kami. Justeru pemain perlu beri sepenuh tumpuan.

"PKNS FC bukan calang-calang pasukan. Perlawanan ini pasti tidak mudah. Perak juga sering dianggap mempunyai badi setiap kali menentang PKNS. Jadi kami mahu membuktikan ia tidak benar," katanya.

Jurulatih itu juga mengharapkan sokongan padu penyokong Perak yang dijangka memenuhi setiap ruang stadium yang baru di naik taraf itu.

Katanya, kehadiran penyokong akan membakar lagi semangat anak buahnya yang ketinggalan 1-2 pada agregat berbanding skuad kendalian Datuk K Rajagobal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 7:53 PM