Mehmet Durakovic (dua kanan) ketika sesi latihan Perak di Stadium Perak, Ipoh. FOTO Muhaizan Yahya
Mehmet Durakovic (dua kanan) ketika sesi latihan Perak di Stadium Perak, Ipoh. FOTO Muhaizan Yahya
Farah Suhaidah Othman


JURULATIH Perak, Mehmed Durakovic tetap optimis pasukan Perak mampu memberi persembahan terbaik dalam saingan timbal balik perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Pahang malam esok meskipun beberapa pemainnya cedera dan digantung perlawanan.

Beliau mengakui kehebatan skuad Tok Gajah apabila dibarisi pemain tempatan terbaik namun apa diharapkan anak buahnya memberi prestasi terbaik pada perlawanan itu.

Durakovic turut mengharapkan kehadiran penyokong The Bos Gaurus (TBS) untuk terus memberikan sokongan kepada pasukan pada malam esok.

“Pahang adalah lawan yang terbaik dan ia bukan perlawanan yang mudah. Jika penyokong hadir memberi sokongan pada perlawanan esok, kami janji untuk memberi 100 peratus persembahan terbaik.

“Azhan (Amirul Azhan) cedera manakala Naim (Nazirul Naim) dan Ronaldo digantung perlawanan jadi kita tengok macam mana esok tetapi pemain mampu memberi aksi terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas latihan pasukan itu di Stadium Perak, di sini petang tadi.

 Hafizul Hakim (kanan sekali) menjalani latihan bersama pasukan.
Hafizul Hakim (kanan sekali) menjalani latihan bersama pasukan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai persembahan penjaga gol Perak, Muhamamd Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, beliau tidak mahu meletakkan hukuman berat kepada pemain berusia 26 tahun itu.

“Hafizul adalah penjaga gol utama pasukan, sama ada kalah atau menang, kami adalah satu pasukan. “Setiap orang melakukan kesilapan dan saya percaya untuk memberikan dia peluang kedua. Saya harap dia akan memberikan persembahan terbaik malam esok,” katanya.

Sementara itu, Hafizul Hakim berkata, jika diberi peluang diturunkan pada perlawanan malam esok, beliau berjanji untuk memberikan aksi terbaik kepada pasukan.

Katanya, kesilapan membiarkan `gol ajaib' dilakukan pasukan lawan pada perlawanan minggu lalu disifatkan sebagai ujian kepada dirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 10:18 PM