DUA watak penting aksi suku akhir Copa America antara Venezuela dan Argentina pagi esok. Pemain Venezuela, Salomon Rondon (kiri) dan Lionel Messi dari Argentina. — FOTO AFP
DUA watak penting aksi suku akhir Copa America antara Venezuela dan Argentina pagi esok. Pemain Venezuela, Salomon Rondon (kiri) dan Lionel Messi dari Argentina. — FOTO AFP
AFP

KEM Argentina kembali positif menjelang suku akhir Copa America menentang Venezuela, menurut jurulatih Lionel Scaloni, awal pagi tadi.

Argentina berdepan krisis apabila memulakan Copa dengan kekalahan 0-2 di tangan Colombia kemudian seri 1-1 dengan Paraguay menyaksikan mereka di tangga tercorot dan kemungkinan tersingkir awal pada kejohanan yang dimenangi mereka 14 kali.

Namun persembahan yang meningkat ketika menang 2-0 ke atas pasukan jemputan Qatar membantu mereka layak ke peringkat kalah mati awal pagi esok di Stadium Maracana, Rio de Janeiro.

“Mereka kembali mendapat kayakinan. Kami yakin boleh meneruskannya dan ada petanda positif,” kata Scaloni.

PEMAIN Argentina (dari kiri) Juan Foyth, Nicolas Otamendi, Messi, Ramiro Funes Mori dan Roberto Pereyra ketika sesi latihan di Rio de Janeiro, semalam. — FOTO AFP
PEMAIN Argentina (dari kiri) Juan Foyth, Nicolas Otamendi, Messi, Ramiro Funes Mori dan Roberto Pereyra ketika sesi latihan di Rio de Janeiro, semalam. — FOTO AFP

Namun pasukan kerdil Venezuela tidak boleh dipandang mudah. Malah mereka mengalahkan Argentina 3-1 pada satu aksi persahabatan di Madrid, Mac lalu.

“Pencabar yang sudah menyukarkan Brazil sebelum ini,” kata Scaloni merujuk keputusan seri 0-0 Venezuela dengan tuan rumah pada peringkat kumpulan.

Tidak seperti Argentina, Venezuela tidak kalah pada kempen Copa kali ini.

Argentina pula tidak menang tiga aksi terakhir mereka menentang Venezuela – satu daripada dua negara Amerika Selatan yang belum pernah menjuarai Copa.

Scaloni bagaimanapun menjelaskan aksi persahabatan Mac lalu, apabila Lionel Messi kembali ke pasukan itu selepas lapan bulan berehat, tidak memberi kesan terhadap pertembungan awal pagi esok.

“Ia satu perlawanan berbeza, kami bermain dengan tiga pertahanan tengah, barisan berbeza, bukan hanya dari segi pemain tapi juga formasi,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 10:54 AM