Jelius anggap pemainnya beraksi di bawah tahap sebenar ketika menentang Negeri Sembilan. FOTO NSTP
Jelius anggap pemainnya beraksi di bawah tahap sebenar ketika menentang Negeri Sembilan. FOTO NSTP
Ryan Stanley


WALAUPUN menang 1-0 ke atas Negeri Sembilan dalam aksi liga di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi, pengendali Sabah, Jelius Ating, tidak berpuas hati dengan prestasi anak didiknya dalam perlawanan itu.

Katanya, pemain beraksi di bawah tahap sebenar dan tidak menolak kemungkinan ia disebabkan tempoh rehat yang agak panjang sebelum ini.

"Tempoh rehat panjang ini sebenarnya ada kebaikan dan ada juga keburukan.

Jika kita lihat aksi tadi (semalam), pemain masih tercari-cari rentak.

"Kebaikan (saingan liga) berehat panjang ialah pemain mengalami kecederaan mempunyai masa kembali cergas tetapi keburukannya kita tiada aksi kompetitif kerana agak sukar mencari pasukan berkualiti untuk perlawanan persahabatan di sini," katanya selepas perlawanan semalam.

Jelius berkata, beliau bagaimanapun tetap gembira dengan kemenangan itu walaupun menerima tentangan hebat pasukan lawan.

"Bermain baik atau tidak, kemenangan adalah lebih penting namun kita perlu mempamerkan peningkatan pada aksi-aksi akan datang," katanya.

Jelius berkata jaringan tunggal dihasilkan Alto Linus m-65 adalah sah walaupun mendapat bantahan daripada pemain serta jurulatih NS.

"Memang Aguinaldo (Mendes Veiga) dalam keadaan offside tetapi dia tidak menyentuh bola itu sebaliknya Ahmet (Atayev) yang mengambilnya dan dia berada dalam keadaan tidak offside.

"Mungkin pembantu pengadil terlalu cepat mengangkat bendera namun dia menurunkannya semula selepas menyedari Aguinaldo tidak mengambil bola itu, bagi saya gol itu sah," katanya.

Kemenangan menyaksikan Sabah naik ke tangga kedua selepas mengumpul 28 mata, hanya satu mata di belakang pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim II (JDT II).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 3:20 PM