SALAH direhatkan dalam perlawanan awal pagi tadi. FOTO Reuters
SALAH direhatkan dalam perlawanan awal pagi tadi. FOTO Reuters
AFP

TUAN rumah Piala Negara Afrika Mesir merehatkan pemain bintang mereka Mohamed Salah ketika pasukan itu menewaskan Tanzania 1-0 awal pagi tadi dalam aksi pertama daripada dua pemanas badan sebelum sepak mula pada 21 Jun ini.

Ketika penyerang prolifik Liverpool itu berada di bangku pemain di Iskandariah, pertahanan Ahmed Elmohamady memecah kebuntuan pada minit ke-65 menerusi tandukan ke gawang lawan.

Elmohamady adalah pemain veteran skuad Pharaoh dan mungkin berdepan Salah dalam aksi Liga Perdana Inggeris musim depan apabila Aston Villa kembali ke EPL.

Mesir, juara tujuh kali Piala Negara Afrika mendominasi perlawanan tetapi kurang padu ketika berdepan Tanzania yang kembali ke kejohanan itu selepas 39 tahun.

Mesir yang juga pasukan pilihan akan menentang Zimbabwe dalam perlawanan pembuka tirai di Kaherah dan juga berdepan Congo dan Uganda dalam Kumpulan A.

Mereka akan kembali ke Iskandariah Ahad ini untuk menentang Guinea dalam satu lagi perlawanan persahabatan menjelang kejohanan membabitkan 24 pasukan itu.

Tanzania dibimbing Emmanuel Amunike, pemenang Piala Negara Afrika 1994 sebagai pemain dengan Nigeria dan akan menentang Algeria, Senegal dan Kenya dalam Kumpulan C.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 10:23 AM