CHONG Wei dijangka umum persaraan esok. — FOTO Eizairi Shamsudin
CHONG Wei dijangka umum persaraan esok. — FOTO Eizairi Shamsudin
BERNAMA

TEKA-TEKI berhubung spekulasi mengenai persaraan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei akan terjawab esok.

Menerusi satu jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), pemain berusia 37 tahun itu akan mengadakan sidang media khas di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya pada jam 12.30 tengah hari.

Sidang media itu turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.

Jumaat lalu, media melaporkan Chong Wei yang juga bekas pemain nombor satu dunia dijangka membuat pengumuman berhubung masa depan kerjayanya, minggu ini.

CHONG Wei (kiri) bersama musuh utamanya, Lin Dan. — FOTO Syarafiq Abd Samad
CHONG Wei (kiri) bersama musuh utamanya, Lin Dan. — FOTO Syarafiq Abd Samad

Bagaimanapun, pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu menegaskan pengumuman hanya akan dibuat selepas mengadakan pertemuan dengan BAM dan jurulatih.

Chong Wei tidak menjalani latihan sejak sebulan lalu apabila dia mengambil cuti pada hujung April lalu bagi menjalani pemeriksaan susulan di Taiwan.

Ia bagi mencegah kanser hidung yang dihadapinya menyerang kembali selepas mendapat nasihat doktor.

Antara pencapaian besar Chong Wei adalah pingat perak temasya Sukan Olimpik di Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 10:05 PM