Reaksi Rafael Nadal selepas mencatat kemenangan ke atas Roger Federer di Terbuka Perancis. FOTO AFP
Reaksi Rafael Nadal selepas mencatat kemenangan ke atas Roger Federer di Terbuka Perancis. FOTO AFP
AFP

JUARA bertahan, Rafael Nadal menewaskan Roger Federer pada aksi separuh akhir Terbuka Perancis, malam ini, untuk mengesahkan kemenangan pertama terhadap musuh lamanya itu dalam masa lima tahun untuk selangkah lagi mencatat sejarah merangkul kejuaraan Roland Garros buat kali ke-12.

Pemain berusia 33 tahun beraksi bertenaga untuk mengatasi Federer, 6-3, 6-4, 6-2 dalam pertembungan empat terakhir di gelanggang Philippe Chatrier dan mengesahkan tempat untuk bertemu sama ada pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic atau pemain pilihan ke empat dari Austria Dominic Thiem pada Ahad.

Ia adalah penampilan ke-12 Nadal dalam perlawanan kejohanan, di mana dia tidak pernah tewas sebelum ini.

Ashleigh Barty mara ke final. FOTO Reuters
Ashleigh Barty mara ke final. FOTO Reuters

Terdahulu pada aksi wanita, Ashleigh Barty dan Marketa Vondrousova akan bertembung di final Roland Garros.

Ashleigh melangkah ke final pertama di kejohanan utama, selepas bangkit mengatasi pemain berusia 17 tahun, Amanda Anisimova 6-7 (4/7), 6-3, 6-3 dalam aksi separuh akhir mendebarkan.

Pemain remaja Republik Czech, Marketa Vondrousova juga memastikan tempat ke final selepas menewaskan pemain Britain, Johanna Konta 7-5, 7-6 (7/2).

Marketa adalah pemain remaja pertama yang mara ke final di Paris sejak kali terakhir Ana Ivanovic pada 2007.

Ashleigh, 23, pemain pilihan kelapan adalah pemain Australia pertama mara ke final Terbuka Perancis sejak Samantha Stosur menduduki naib juara pada 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 10:17 PM