KHAIRUL Fahmi Che Mat memberi tamparan kepada pengurusan KAFA yang kini dibelenggu masalah kewangan. FOTO Rasul Azli Samad
KHAIRUL Fahmi Che Mat memberi tamparan kepada pengurusan KAFA yang kini dibelenggu masalah kewangan. FOTO Rasul Azli Samad
Syazwan Msar


BELUM pun reda isu desakan peletakan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, kini badan induk bola sepak negeri itu diuji pula tuntutan gaji oleh empat bekas pemain bernilai lebih RM300,000.

Tuntutan empat pemain terbabit iaitu Mohd Daudsu Jamaluddin, Zairul Fitree Ishak dan Norhafiz Zamani Misbah serta terbaru penjaga gol Melaka, Khairul Fahmi Che Mat jelas memberi tamparan kepada pengurusan KAFA yang kini dibelenggu masalah kewangan.

Malah, dikhabarkan beberapa pemain daripada skuad utama Kelantan dan Presiden masih lagi tidak menerima gaji sejak April lalu, sekali gus membayangkan skuad The Red Warriors itu berada dalam situasi tenat.

Mengikut maklumat yang diterima, Khairul Fahmi menerusi peguamnya menghantar surat kepada KAFA tiga hari lalu bagi menuntut bayaran tunggakan gaji 2015 dan 2016 mencecah RM143,000.

Manakala tiga pemain lain menghantar surat tuntutan pembayaran tunggakan gaji dengan anggaran RM200,000 seterusnya perlu diselesaikan segera oleh KAFA bagi mengelak tindakan undang-undang.

Bibi ketika dihubungi Arena Metro mengesahkan menerima surat tuntutan daripada keempat-empat pemain itu baru-baru ini membabitkan tunggakan bayaran gaji pengurusan terdahulu.

Namun, tuntutan itu menimbulkan persoalan berikutan secara tiba-tiba pemain berkenaan menuntut pembayaran terbabit walaupun ada kes sudah berlanjutan hampir empat tahun.

Situasi terbabit sekali gus menyebabkan Bibi tidak menolak kemungkinan ada desakan daripada pihak tertentu yang mahu melihat Kelantan jatuh selepas dihimpit pelbagai masalah.

“Saya ada terima surat daripada peguam mereka baru-baru ini berkaitan tuntutan terbabit dan melihat pemain terbabit menuntut dalam jumlah yang terlalu besar.

“Ada beberapa tuntutan itu tidak munasabah selain ada antara pemain terbabit melanggar syarat kontrak menyebabkan dia tidak mendapat bayaran gaji,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Bibi mengakui satu persatu masalah timbul walaupun pengurusan sekarang ini cuba menyelesaikan isu tunggakan gaji dan tuntutan pemain.

“Saya melihat ada perancangan daripada pihak tertentu untuk menjatuhkan KAFA dan untuk itu saya akan membawa perkara ini kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk melakukan siasatan terhadap gaji mereka sebelum ini.

“Jika diikutkan isu tunggakan LHDN belum lagi selesai dan timbul pula masalah ini dan KAFA perlu mengambil inisiatif bagi mengelak terus menjadi mangsa keadaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 5:01 AM