Brighton, United Kingdom: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata keyakinan pasukannya meningkat selepas kejayaan mengatasi Manchester City hujung minggu lalu, ketika mereka terus dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala FA berdepan Brighton dan Hove Albion.

Kelab utara London itu berkunjung ke Brighton, pasukan Liga Kejuaraan malam ini, tujuh hari selepas menewaskan juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Manchester City, 2-0 di Stadium Etihad.

Wenger percaya bahawa kemenangan itu, yang juga pertama buat Arsenal di tempat lawan sama ada menentang City, Manchester United atau Chelsea sejak Oktober 2011, akan mengukuhkan kelab itu mengharungi baki musim ini.

“Kami mempamerkan persembahan terkawal dengan semangat sepasukan tinggi, ia satu asas yang baik,” kata pengurus kelahiran Perancis itu.

“Semua orang menyumbang terhadap kerja keras dan kesungguhan itu. Mampukah kami mengekalkan fokus terhadap kualiti dan meningkatkan tahap teknikal. Kita mampu menjadi lebih kuat.

“Apa yang berlaku pada hujung minggu lalu, membantu pasukan mengukuhkan keyakinan kami. Saya fikir sikap pemian sejak awal musim, keinginan untuk bermain dengan baik dan kesepakatan mereka, amat baik.

“Asasnya tidak berubah. Jelas sekali kami mempunyai keyakinan yang tinggi dan jitu.”

Arsenal berkunjung ke Stadium Amex pada peringkat sama kejohanan itu dua tahun lalu dan memerlukan jaringan saat akhir Theo Walcott bagi memastikan kemenangan 3-2.

Wenger juga waspada akan cabaran yang bakal diberikan anak buah Chris Hughton.

“Pastinya sukar menentang pasukan Liga Kejuaraan di tempat lawan dan kami masih ingat perlawanan menentang Brighton dua tahun lalu,” kata Wenger.

“Sudah pasti Chris Hughton akan menyalurkan pengalaman dan cabaran kepada pasukan itu. Beliau tahu bagaimana untuk mempersiapkan pasukan untuk berdepan cabaran seperti itu.”

Perlawanan malam ini, adalah yang kelima dikendalikannya di Brighton sejak menggantikan Sami Hyypia sebagai pengurus. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 January 2015 @ 6:56 AM