KIAN Meng-Pei Jing muncul naib juara Terbuka Singapura hujung minggu lalu. — FOTO Aswadi Alias
KIAN Meng-Pei Jing muncul naib juara Terbuka Singapura hujung minggu lalu. — FOTO Aswadi Alias
Saiful Affendy Sapran


SELEPAS meraih keputusan positif dalam dua kejohanan sebelum ini, beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing akan melalui ranjau berliku pada Kejohanan Badminton Asia di Wuhan bermula 23 April ini.

Kian Meng-Pei Jing akan bertemu pasangan nombor satu dunia dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong pada pusingan pertama, lawan yang belum pernah ditemui mereka sebelum ini.

“Ia memang tugas sukar lebih-lebih lagi apabila kami tidak pernah bertemu dengan mereka.

“Tapi kami tetap akan berusaha untuk melepasi pusingan pertama itu. Saya boleh katakan kini kami berada di tahap terbaik.

“Sebelum ini kami sering berdepan kekecewaan tapi selepas mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia serta final Terbuka Singapura, ia meningkatkan lagi semangat kami menghadapi Kejohanan Asia,” katanya.

Jelas Kian Meng, keputusan di Wuhan penting dalam usaha mereka merebut tempat beraksi pada Piala Sudirman di Nanning, bulan depan.

“Kami memang berharap dapat terpilih ke Piala Sudirman tapi pada masa sama kami juga sedar cabaran untuk merebut tempat dalam acara beregu campuran sangat sengit,” katanya.

Kian Meng-Pei Jing memukau selama dua minggu berturut-turut apabila muncul satu-satunya wakil tunggal negara mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia sebelum sekali lagi melakar kejutan dengan kejayaan ke final Terbuka Singapura, Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 10:35 PM