CALLUM HUDSON-ODOI
CALLUM HUDSON-ODOI
AFP

LONDON: Pemain Jerman, Antonio Rudiger mengakui rakan sepasukan Chelsea, Callum Hudson-Odoi meminta pendapatnya mengenai perpindahan ke Bundesliga dengan Bayern Munich berminat mendapatkan khidmat pemain berusia 18 tahun England itu.

Pengarah sukan Bayern, Hasan Salihamidzic mengesahkan juara Jerman itu “pasti mahu menandatangani” Hudson-Odoi, yang kontraknya kini berbaki 18 bulan bersama Chelsea.

“Sudah tentu dia bertanya mengenai Jerman,” kata Rudiger selepas kekalahan 0-1 Chelsea pada separuh akhir pertama Piala Liga di tangan Tottenham, awal pagi semalam.

“Ia soalan am daripadanya kerana dia masih muda. Saya boleh menasihatinya, tapi keputusan mengenai masa depan terletak di tangannya sendiri.”

Hudson-Odoi diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan di Wembley itu, tetapi hanya tampil sekali dalam aksi Liga Perdana musim ini.

Bagaimanapun Rudiger yakin Hudson-Odoi mampu menyinar sekiranya dia memilih untuk kekal di Stamford Bridge.

“Dia boleh memupuk bakatnya di sini juga. Anda boleh lihat dari kedua-dua sudut. Memang di Jerman juga boleh dan tambahan pula Bayern Munich kelab besar.

“Ia sesuatu yang perlu difikirkan untuk masa depan. Untuk masa depannya, saya doakan yang terbaik buatnya. Tapi bagi saya, saya mahu dia kekal bersama kami.

“Dalam kalangan pemain muda yang pernah saya lihat di Chelsea, dia yang paling menyinar. Dia mempunyai kualiti untuk menjadi pemain hebat, tapi perlu bekerja lebih keras,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 11:59 AM