Sainbayar berjaya meraih tempat kedua peringkat keempat Jelajah Thailand. FOTO TSG
Sainbayar berjaya meraih tempat kedua peringkat keempat Jelajah Thailand. FOTO TSG
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kemalangan yang berlaku kira-kira 500 meter sebelum garis penamat menyebabkan dua pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Wan Abdul Rahman Hamdan dan Irwandie Lakasek kempunan untuk meraih podium pada perlumbaan hari keempat Jelajah Thailand, hari ini.

Namun kedukaan itu sedikit terubat apabila seorang lagi pelumba TSG, Jambaljamts Sainbayar berjaya meraih tempat kedua dengan catatan masa 3 jam 18 minit 51 saat.

Perlumbaan sejauh 143.7 kilometer (km) itu menyaksikan Wan Abdul Rahman dan Irwandie berada di kelompok hadapan namun ketika mahu memecut secara tiba-tiba berlaku pergeseran menyebabkan kedua-dua pelumba terbabit terjatuh.

Berikutan itu, Lucas Carstensen dari Bike Aid tidak berhadapan masalah untuk muncul pelumba pertama tiba di garis penamat dengan catatan masa 3 jam 18 minit 51 saat manakala di tempat ketiga pula adalah milik pelumba dari Thailand Continental Cycling Team Thanawut Sanikwathi (3 jam 18 minit 51 saat).

Pelumba dari Thailand Continental Cycling Team Sarawut Sirironnachai masih kekal sebagai pelumba terbaik Asia dan juga Jersi Kuning manakala Carstensen pula Jersi Hijau selaku raja pecut.

Sementara itu, Pengurus Pasukan TSG, Mohd Saiful Anuar Aziz berkata, situasi yang agak menyedihkan apabila Wan Abdul Rahman dan Irwandie terbabit kemalangan apabila mereka sudah hampir dengan garis penamat.

Beliau berkata, ketika ini Irwandie perlu dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut seterusnya dia hanya akan kembali meneruskan perlumbaan berdasarkan kepada laporan perubatan kelak.

"Situasi yang agak menyedihkan buat dua pelumba itu apabila terbabit dengan kemalangan sebelum tiba di garis penamat.

"Namun, alhamdulillah Jambaljamts berjaya mengekalkan kecemerlangan pasukan dengan menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

"Keadaan Wan Abdul Rahman tiada masalah cuma sekarang ini perlu menunggu laporan perubatan membabit Irwandie saja," katanya.

Saingan peringkat kelima membabitkan laluan sejauh 160.3km bermula dari Trang ke Satun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 6:44 PM