Momota mahu tamatkan penantian Jepun. FOTO NSTP
Momota mahu tamatkan penantian Jepun. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


KETIADAAN Datuk Lee Chong Wei di Terbuka Malaysia memberi peluang buat pemain nombor satu dunia, Kento Momota untuk menamatkan penantian 81 tahun Jepun meraih kejuaraan sulung bagi kategori perseorangan lelaki.

Menurut Momota, selepas kecewa tahun lalu apabila hanya meraih gelaran naib juara, 2019 adalah peluang terbaik buatnya apabila Chong Wei menarik diri daripada mempertahankan kejuaraan atas nasihat doktor.

"Sudah tentu saya mahu meraih kejuaraan kerana tahun lalu saya hanya muncul naib juara," kata pemain berusia 25 tahun itu kepada media di Arena Axiata, Bukit Jalil, hari ini.

Tahun lalu Momota hanya berjaya mengulangi pencapaian Kenichi Tago apabila kalah di perlawanan akhir 21-17, 23-21.

"Saya juga yakin peminat Malaysia ternanti-nanti aksi Chong Wei tahun ini tetapi dia tidak berada di sini kali ini.

Jadi, saya mahu menghiburkan peminat Malaysia berdasarkan prestasi sekarang," kata Momota.

Momota berada pada prestasi terbaik selepas merangkul dua gelaran berturut-turut di jelajah Eropah apabila memenangi Terbuka Jerman dan Seluruh England.

"Saya berada pada prestasi terbaik sekarang selepas kali terakhir saya berjaya merangkul Seluruh England bulan lalu.

Ia memberikan saya lebih keyakinan," katanya.

Sementara itu, Momota juga merasakan Chong Wei akan kembali beraksi selepas berdepan pelbagai kesukaran termasuk berehat panjang akibat rawatan kanser hidung.

"Saya rasa dia akan kembali beraksi termasuk di Sukan Olimpik Tokyo 2020," kata Momota memulakan aksi Terbuka Malaysia menentang Jan O Jorgensen dari Denmark.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 5:40 PM