AMIRIZDWAN (kiri) beraksi dengan Kelantan musim lalu. — FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
AMIRIZDWAN (kiri) beraksi dengan Kelantan musim lalu. — FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


SELEPAS 26 hari bekas Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie meletakkan jawatan, beliau seolah-olah ‘terselamat’ daripada menanggung bebanan kerosakan yang dilihat berpunca daripadanya.

Justeru, pemain skuad Singa Utara yang masih belum mempunyai pasukan musim ini sudah mula merungut dan meminta persatuan itu melakukan sesuatu supaya Amizal tampil memperbetulkan keadaan.

Pemain pertahanan Perlis, Amirizdwan Taj Tajuddin berkata, kerosakan yang ditimbulkan oleh Amizal tidak seharusnya dibiarkan begitu saja tanpa sebarang tindakan.

“Beliau tak boleh larikan diri macam itu saja selepas apa yang berlaku selama beliau memegang jawatan presiden PFA dalam tempoh hampir empat bulan.

“Be gentleman (bertanggungjawab), tampilkan diri jelaskan keadaan sebenar dan selesaikan apa yang sudah dimulakannya.

“Jadilah manusia yang bertanggungjawab dan bukannya menghilangkan diri selepas menganiaya banyak pihak,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Mengakui dia masih bergelut mencari pasukan baru untuk bermain musim ini, Amirizdwan mengharapkan sinar baru muncul buat dirinya bersama rakan senasib.

“Saya harap PFA boleh memfailkan saman sivil terhadapnya sebab pengurusan yang membawanya masuk ke dalam PFA.

“Terlalu banyak kerosakan malah beliau boleh menghancurkan karier pemain selepas apa yang berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 6:10 PM