PENYOKONG Perlis desak presiden PFA dan timbalannya letak jawatan. FOTO/NSTP
PENYOKONG Perlis desak presiden PFA dan timbalannya letak jawatan. FOTO/NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad


ULTRAS Perlis Brigate Gialloblu (BGB Perlis) mendesak Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Shafie dan timbalannya, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan meletak jawatan serta-merta berikutan keadaan terkini pasukan bola sepak Perlis yang dibatalkan penyertaan dalam Liga Perdana akibat kemelut kewangan yang kronik.

“Presiden kena bertanggungjawab, tinggalkan persatuan serta-merta dan diganti dengan orang lain yang lebih layak lagi.

“Begitu juga timbalan presiden yang membawa masuk presiden untuk menerajui PFA

dan beberapa ‘orang kanan’ mereka juga perlu letak jawatan,” kata jurucakapnya kepada Arena Metro.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Am berkata, biarpun PFA mempunyai baki lima hari lagi untuk merayu keputusan MFL itu, mereka sudah putus harapan melihat skuad Singa Utara bersaing dalam Liga Perdana musim ini.

“Biarlah, kami tidak kisah lagi jika pasukan Perlis tidak main. Ini sebagai pengajaran dan membuka mata pihak terbabit,” katanya.

Menurut Am, sejak awal lagi mereka tidak yakin dengan perancangan diutarakan presiden bagi menguruskan pasukan Perlis selepas membuat semakan latar belakangnya.

“Kami turut bersemuka dengan presiden dan berbincang serta meluahkan termasuk saranan agar Perlis kekal beraksi di liga amatur jika tidak mampu dari segi kewangan.

“Namun, beliau tegaskan sudah ada beberapa syarikat penerbangan dan 10 syarikat yang tunggu nak taja pasukan selain beliau sendiri akan bawa pemain import baharu,” katanya.

Katanya, harapan penyokong Singa Utara supaya apa dirancang itu berkekalan dan tidak menimbulkan masalah, namun sebaliknya berlaku.

“Kami dah nyatakan pendapat, namun tidak didengari dan paling menyakitkan hati, logo pasukan diubah sesukan hati.

“Jadi, mereka kena bertanggungjawab tinggalkan persatuan. Kita akan cuba cari pengganti kerana saya yakin ramai yang boleh memimpin PFA.

“Cuma dari segi kewangan mungkin terbeban sedikit, tapi jika hendak bermula di Liga M5 atau M4, rasanya tiada masalah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 8:07 AM