REAKSI pemain United,  Chris Smalling selepas tamat perlawanan menentang Wolves. - FOTO  Reuters
REAKSI pemain United, Chris Smalling selepas tamat perlawanan menentang Wolves. - FOTO Reuters
Reuters

DUA kekalahan berturut-turut dalam aksi Piala FA dan Liga Perdana menjejaskan momentum Manchester United di bawah kendalian pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer tetapi pemain tengah Nemanja Matic berkata, dia tetap yakin mereka mampu menamatkan kedudukan dalam kelompok empat teratas.

Selepas tewas kepada Arsenal 2-0 minggu lalu, United tewas 2-1 di Wolverhampton Wanderers dalam aksi suku akhir Piala FA, Sabtu lalu.

Dengan baki lapan lagi perlawanan, United kini di tangga kelima, satu mata di atas Chelsea dan dua mata di belakang Arsenal. Tottenham Hotspur pula tiga mata di atas mereka dalam persaingan merebut slot kelayakan Liga Juara-Juara.

"Kami perlu memberikan yang terbaik untuk menduduki empat teratas dan kami tak boleh membiarkan kekalahan ini berterusan,” kata Matic kepada wartawan.

"Ada banyak lagi perlawanan. Kami ada lapan aksi lagi dan perlu berjuang untuk empat pasukan terbaik.

"Kami ada Liga Juara-Juara. Kami akan melihat apa yang kami boleh lakukan dan tahap kualiti kami.”

Menurut Matic, Solskjaer wajar diberi tugas kekal selepas mengendalikan 14 kemenangan United daripada 19 perlawanan sejak mengambil alih tugas daripada Jose Mourinho yang dipecat pada Disember lalu.

"Saya mahu Ole kekal di sini. Dia pengurus yang hebat, sangat positif dan kelab akan menentukannya,” kata Matic.

"Kami akan menganalisis perlawanan itu untuk melihat kesilapan dan memperbaikinya. Saya yakin kami akan kembali bangkit untuk kejayaan seterusnya.”

United menerima kunjungan Watford dalam aksi liga pada 30 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 1:11 PM