Aksi Roger Federer dalam Kejohanan Tenis Terbuka BNP Paribas di Indian Wells, California. FOTO AFP.
Aksi Roger Federer dalam Kejohanan Tenis Terbuka BNP Paribas di Indian Wells, California. FOTO AFP.
Reuters

ROGER Federer berada di landasan tepat untuk berdepan seteru lamanya, Rafa Nadal apabila berjaya menewaskan Hubert Hurkacz, 6-4, 6-4, di peringkat suku akhir Terbuka BNP Paribas di Indian Wells, California, awal pagi ini.

Federer menewaskan pemain ranking ke-67 dari Poland dalam dua set dan jaguh Switzerland itu hanya memerlukan satu jam untuk beraksi cemerlang di gelanggang luar dewan itu.

Ia perlawanan pertama buat kedua-dua pemain dan permainan dikuasai oleh Federer walaupun Hurkacz cuba bangkit merapatkan kedudukan mata namun gagal memperolehi kemenangan.

“Saya cuba memberi tentangan, bersaing dan percaya saya boleh melakukannya,” kata Hurkacz kepada media.

"Roger bermain baik pada saat getir. Saya mempunyai sedikit peluang dalam set kedua. Dia kerap melakukan perubahan di setiap arah (ketika melakukan pukulan) jadi ia sangat sukar untuk membaca permainan itu.”

Rafael Nadal. FOTO EPA.
Rafael Nadal. FOTO EPA.

Hari ini pilihan keempat, Federer akan berdepan buat kali ke 39 dalam karier tenisnya menentang Nadal, selepas pemain Sepanyol itu turut mencatat kemenangan di peringkat suku akhir ke atas pemain Russia, Karen Khachanov semalam.

Nadal mendahului Federer dengan kemenangan 23-15 dalam rekod pertemuan mereka namun pemain Switzerland memenangi lima pertemuan terakhir sebelum ini.

Mereka tidak bertembung sejak Shanghai 2017, tahun sama di mana Federer menewaskan Nadal, 6-2, 6-3 dalam pusingan ke empat di Indian Wells.

Satu lagi peringkat separuh akhir membabitkan pemain dari Austria yang juga pilihan ketujuh, Dominic Thiem dan pemain pilihan ke-13 dari Kanada, Milos Raonic.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 1:00 PM