COLLYMORE (gambar kecil) percaya Guardiola perlukan khidmat Van Dijk bagi melengkapkan pertahanan Man City. FOTO Zimbio
COLLYMORE (gambar kecil) percaya Guardiola perlukan khidmat Van Dijk bagi melengkapkan pertahanan Man City. FOTO Zimbio
Agensi

BEKAS penyerang Liverpool, Stan Collymore percaya Manchester City mampu mendominasi arena bola sepak Eropah untuk tempoh sedekad, tetapi mereka perlu terlebih dulu membeli ‘tembok besi’ Reds, Virgil van Dijk bagi mengukuhkan benteng pertahanan.

Pemain Belanda itu tidak mustahil dianugerahkan dengan gelaran Pemain Terbaik Tahunan selepas bijak mengendalikan benteng pertahanan Liverpool dan dana £75 juta (RM402.6 juta) yang dikeluarkan Reds bagi mendapatkan pemain itu Januari tahun lalu dilihat sangat berbaloi.

Liverpool berjaya mengatasi minat City dan Chelsea terhadap Van Dijk dan Collymore mencadangkan Pep Guardiola untuk sekali lagi berusaha mendapatkan pemain itu.

Di dalam kolum di akhbar Daily Mirror, Collymore berkata: “Saya sedar Guardiola pernah berkata bahawa beliau mengutamakan pembelian ke atas pertahanan dan pemain tengah bertahan, musim panas nanti.

“Tapi, jika saya menjadi dirinya, individu pertama yang akan saya bawa masuk ialah Van Dijk.

“Saya sedia menawarkan John Stones dan Nicolas Otamendi selain tambahan dana asalkan dapat membawa masuk pemain Belanda itu dan saya tidak akan berhenti sehingga Liverpool menerima tawaran saya.

“Saya tahu Jurgen Klopp memiliki kontrak jangka panjang di Anfield dan jika Liverpool tidak muncul juara, beliau tidak akan menjual pemain terbaik yang mereka ada.

“Terutamanya kepada musuh di Liga Perdana Inggeris. Tapi, Van Dijk adalah antara individu yang berbakat besar dan akan mengukuhkan mana-mana pasukan di dunia.

“Jika City mahu menjadi kuasa besar di dalam arena bola sepak, mereka tidak ada pilihan kecuali berusaha mendapatkan Van Dijk.

“Van Dijk bijak membawa permainan berbanding pertahanan lain di Liga Perdana Inggeris. Itu kelebihan yang ada padanya.

“Saya anggap dia setanding dengan Rio Ferdinand. Dia mampu melihat bahaya, sedar dengan situasi dan boleh menangani serangan lawan.

“Ramai pemain yang boleh membaca perlawanan, tapi mereka tidak mampu mengekang pergerakan lawan. Itu beza Van Dijk dengan pemain lain.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 8:02 AM