Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie.
Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie.
Syazwan Msarmohd


PENGURUSAN Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) mahu mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Liga Bolasepak Malaysian (MFL) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai ‘talian hayat’ untuk menyelamatkan pasukan berkenaan daripada terus tersingkir.

Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafaie berkata, pertemuan berkenaan adalah bagi menjelaskan situasi sebenar dan status terkini pasukan Singa Utara itu.

Amizal yang masih lagi terkejut dengan keputusan berkenaan berkata, pihaknya sudah menghantar permohonan berkenaan dan berharap ia adalah alternatif bagi memberi peluang kepada Singa Utara untuk beraksi di Liga Premier.

“Sejujurnya saya agak kecewa dengan keputusan itu (penyertaan Perlis dibatalkan daripada Liga M) kerana kita sudah menyerahkan dokumen perancangan pasukan Perlis untuk Liga Premier musim ini kepada MFL.

“Perlis sudah memberikan komitmen tinggi walaupun ketika kami berdepan pelbagai isu. Malah, kita tidak lakukan seperti Kuantan FA (tidak hadir pada perlawanan) seterusnya menyebabkan mereka terus dibatalkan penyertaan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) tahun lalu.

“Saya sudah menghantar rayuan kepada MFL tetap pada masa sama mahu bertemu dengan Tunku Ismail bagi menjelaskan situasi sebenar yang berlaku dan kekal optimis Perlis mampu meneruskan perjuangan dalam saingan Liga M,” katanya, di sini.

Kemelut yang melanda Perlis akhirnya tiba ke titik noktah apabila menjadi pasukan pertama disingkirkan daripada saingan Liga M berkuatkuasa semalam.

Perkara itu diumumkan Malaysian MFL apabila mendapati pasukan Singa Utara kemungkinan tidak mampu bertahan sepanjang tempoh saingan liga berikutan tidak memiliki jaminan kukuh daripada struktur kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Kevin Ramalingam berkata, keputusan terbabit diambil berdasarkan penelitian terhadap dokumen kewangan yang diserahkan oleh PFA selepas tarikh akhir 18 Februari lalu.

Berdasarkan dokumen kewangan berkenaan, Ahli Lembaga Pengarah MFL mendapati sumber pendapatan PFA termasuk daripada penajaan berdasarkan perancangan kewangan mereka tidak mencukupi untuk menguruskan pasukan bersaing dalam Liga M musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 7:25 PM