Phil Mickelson. FOTO AFP
Phil Mickelson. FOTO AFP
AFP

SAN FRANCISCO: Phil Mickelson terus bersemangat dalam usaha memburu gelaran ke-50 sepanjang kariernya apabila berkongsi kedudukan pendahulu hari kedua Jelajah PGA Pebble Beach Pro-Am yang terjejas akibat hujan.

Pemain veteran Amerika Syarikat berusia 48 tahun itu, mencatat empat bawah par 68 di Spyglass Hills, selepas mencatat 65 pukulan semalam untuk mengumpul keseluruhan 10 bawah par 133.

Dia mendahului saingan bersama dua lagi rakan senegaranya, Lucas Glover (66), Scott Langley (69) dan pemain England, Paul Casey (64).

Juara Pebble Beach 2017, Jordan Spieth pula mengumpul 10 bawah par selepas hanya sempat beraksi hingga lubang ke-16 sebelum aksi ditangguhkan kerana hujan lebat.

Spieth antara 44 pemain yang gagal menghabiskan aksi pusingan kedua yang akan disambung awal pagi esok.

Mickelson, yang memenangi empat gelaran di Pebble Beach, melakukan tee-off di lubang ke-10 dan mencatat enam bawah par hasil enam birdie sepanjang 14 lubang pertama.

Namun, dia mencatat tiga bogey berturut-turut di lubang ke-15, 16 dan 17 sebelum menutup aksi pusingan kedua dengan birdie.

"Ianya amat baik apabila berjaya menamatkan birdie pada lubang terakhir, namun saya benci untuk mengakhiri pusingan dengan cara begitu dan melakukan tiga bogey selepas beraksi baik," kata Mickelson.

"Keadaan cuaca yang tidak mengizinkan menjadikan aksi hari ini lebih mencabar buat peserta. Saya berasa amat bertuah untuk menghabiskannya. Terdapat beberapa pemain tidak bernasib baik masih lagi beraksi dalam keadaan lapangan yang basah."

Mickelson yang memenangi gelaran itu pada tahun 1998, 2005, 2007 dan 2012 - sudah mengutip 49 kemenangan di seluruh dunia, termasuk 43 gelaran Jelajah PGA dengan yang terbaru Kejuaraan WGC Mexico.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 2:10 PM