Pemain Pahang, Saddil Ramdani (kanan) meraikan jaringan pertama beliau untuk Pahang ketika perlawanan antara Kuala Lumpur menentang Pahang Unifi Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah
Pemain Pahang, Saddil Ramdani (kanan) meraikan jaringan pertama beliau untuk Pahang ketika perlawanan antara Kuala Lumpur menentang Pahang Unifi Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pahang bermula langkah kanan apabila berjaya membawa pulang tiga mata penuh selepas menewaskan, Kuala Lumpur 3-1 pada aksi pembukaan Liga Super di Stadium Bola Sepak Cheras, sebentar tadi.

Orang besi yang juga penyerang import skuad Pahang atau dikenali Tok Gajah, Dickson Nwakaeme membuktikan ketajaman di depan gawang apabila menyumbang dua gol untuk memastikan kemenangan.

Seorang lagi pemain import Tok Gajah dari Indonesia, Saddil Ramdani tidak ketinggalan mencatat nama sebagai penjaring gol apabila berjaya meledak gol pertama pelawat pada minit ke-23.

Walaupun pasukan tuan rumah cuba mencari gol penyamaan namun barisan pertahanan Tok Gajah berjaya mengekang setiap asakan hingga tamat separuh masa pertama.

Nwakaeme (kanan) jaring dua gol buat Pahang.
Nwakaeme (kanan) jaring dua gol buat Pahang.

Separuh masa kedua menyaksikan Pengendali Kuala Lumpur, Yusry Che Lah membuat pertukaran pemain dengan memasukkan Afiq Ahmad Razali dan ternyata percaturan itu berbaloi apabila pemain berjersi 13 itu berjaya menyumbat gol penyamaan pada minit ke-48 hasil hantaran silang Zaiful Abdul Hakim.

Kegembiraan skuad The City Boy tidak lama apabila Nwakaeme meledak gol kedua pada minit ke-52.

Kesilapan benteng tuan rumah terus dihukum apabila Nwakaeme mudah menggelecek dua pemain pertahanan dan penjaga gol lawan sebelum menyumbat gol ketiga Pahang pada minit ke-90 dan memastikan kemenangan selesa skuad bimbingan Dollah Salleh itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 11:57 PM