AKSI Faisal  meraikan jaringan ketika menentang TFC  di Stadium Darul Makmur . - FOTO Bernama
AKSI Faisal meraikan jaringan ketika menentang TFC di Stadium Darul Makmur . - FOTO Bernama
Asrol Awang

SKUAD Pahang mencipta kebangkitan sensasi apabila berjaya mengisi slot separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 4-0 pada suku akhir kedua di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi. 

Kekalahan 1-2 pada suku akhir pertama di Kuala Terengganu pada 1 Mei lalu, tidak menjejaskan misi skuad Tok Gajah untuk mencatat keputusan 5-2 menerusi agregat.

Kesungguhan tuan rumah dapat dilihat apabila membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh hasil penyudah berbisa pemain tengah, Mohd Faisal Halim.

Jaringan itu ternyata menyuntik semangat mereka dengan menggandakan asakan ke kubu TFC dan peluang terbaik hadir daripada rembatan Mohamadou Sumareh tetapi bola ditepis penjaga gol lawan, Mohd Sufian Ab Rahman pada minit ke-39.

Empat minit kemudian, Faisal hampir menambah jaringan kedua peribadi tetapi rembatannya sedikit tersasar di sebelah kiri tiang gol lawan.

Bagi TFC pula, peluang terbaik pasukan itu untuk mendapatkan gol penyamaan menerusi tandukan Tchetche Kipre namun tersasar dua minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, penyerang import, Dickson Nwakaeme menjaringkan gol kedua buat skuad Tok Gajah apabila mudah menyempurnakan sepakan penalti selepas dijatuhkan Mohd Sufian pada minit ke-46.

Pada minit ke-63, Nwakaeme sekali lagi menambah kekecewaan skuad Penyu apabila menjaringkan gol ketiga dan disusuli jaringan Sumareh minit ke-74.

Buat skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim, kekalahan itu sudah pasti perit diterima selepas mereka menang 2-1 pada suku akhir pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 12:05 AM