HARISS yakin tundukkan Perak. FOTO Hairul Anuar Rahim
HARISS yakin tundukkan Perak. FOTO Hairul Anuar Rahim
Rizar Mohd Noor


SKUAD Perak dan pengendali Mehmet Durakovic perlu berhati-hati kerana Johor Darul Ta’zim (JDT) sedia menyerang habis-habisan dalam tempoh 20 minit pertama aksi Perlawanan Sumbangsih di Larkin, malam esok.

Kapten JDT, Hariss Harun menegaskan tempoh 20 minit pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunus amat penting untuk menumpaskan juara Piala Malaysia tujuh kali itu.

Pemain dari Singapura itu berkata, perlawanan menentang The Bos Gaurus agak sukar kerana corak permainan lawan mantap.

Hariss yang mengemudi skuad Harimau Selatan buat musim kedua berkata, permulaan baik sebaik sepak mula amat penting kerana ia akan memberi keyakinan kepada pemain, bukan saja 20 minit pertama tetapi sepanjang 90 minit tanpa melakukan sebarang kesilapan mudah.

“Semua sedar Perak gemar beraksi dengan corak permainan pantas dan pada perlawanan ini, kami bukan saja berdepan taktikal lawan malah harus bersedia dengan corak permainan fizikal dan tidak boleh memberi ruang kepada mereka menguasai bahagian tengah.

“Kami harus guna kelebihan beraksi di Larkin untuk buru kemenangan kerana beraksi di depan penyokong sendiri dan kami ada misi mengutip tiga mata serta mengekalkan Piala Sultan Ahmad Shah di bumi Johor.

“Tidak dinafikan Perak memiliki pemain tengah yang baik menerusi gandingan Wander Luiz dan Leandro Dos Santos dan jika kedua-dua pemain itu tidak diawasi mereka mungkin boleh mengatur gerakan berbahaya.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 8:03 PM