PEMAIN AC Milan, Mateo Musacchio (kiri) melakukan percubaan di hadapan gawang Napoli. -Foto AFP
PEMAIN AC Milan, Mateo Musacchio (kiri) melakukan percubaan di hadapan gawang Napoli. -Foto AFP
AFP

MILAN: Napoli kendalian Carlo Ancelotti sekadar seri tanpa jaringan dengan AC Milan pada aksi Serie A Itali awal pagi tadi yang menyaksikan aspek keselamatan diperketatkan.

Pertahanan Napoli, Kalidou Koulibaly kembali daripada penggantungan dua perlawanan yang diterimanya sebulan lalu selepas menjadi sasaran ejekan berbaur perkauman oleh penyokong Inter Milan di Stadium San Siro.

Anggota polis anti rusuhan berkawal di San Siro sebagai sebahagian langkah memperketatkan kawalan, namun perlawanan berlangsung dengan baik tanpa sebarang insiden.

Pemain Napoli, Lorenzo Insigne juga kembali daripada penggantungan sekali gus bergandingan dengan tiga penyerang Dries Mertens, Arkadiusz Milik dan Jose Callejon.

“Ia suasana yang amat berbeza dan inilah yang saya mahu lihat dari sudut penyokong,” kata Ancelotti.

Menteri Dalam Negeri Itali, Matteo Salvini berkata, ia satu keputusan tepat tidak mengehadkan jualan tiket atau akses ke stadium.

“Kami gembira dengan suasana aman di luar dan dalam stadium,” kata Salvini yang juga penyokong utama AC Milan.

Ketua jurulatih Milan, Gennaro Gattuso tetap berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya meskipun sekadar mengutip satu mata.

“Napoli lawan yang sering memberi tentangan sengit dan mempunyai kekuatan di bahagian serangan.

“Kami mula bangkit pada separuh masa kedua. Apa pun saya tetap gembira dengan keputusan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 10:10 AM