Adam Long. FOTO AFP
Adam Long. FOTO AFP
AFP

LOS ANGELES: Adam Long membenam birdie pada lubang terakhir awal pagi tadi untuk merangkul kejuaraan sulung dalam Jelajah PGA AS pada kejohanan Desert Classic mengatasi pemenang lima gelaran utama Phil Mickelson dan Adam Hadwin.

Long, pemain Amerika Syarikat berusia 31 tahun yang menghuni ranking ke-417 dunia, hanya berjaya melayakkan diri beraksi pada Jelajah PGA AS musim ini menerusi Jelajah Web.com.

Dia mencatat tujuh birdie tanpa sebarang bogey bagi tujuh bawah par 65 dan keseluruhan 26 bawah par 262 sekali gus kemenangan pertama dalam enam kejohanan Jelajah PGA.

“Saya bagaikan tidak percaya ketika ini,” kata Long. “Saya tidak tahu apa yang baru berlaku, tapi saya teruja.”

Beraksi dalam kelompok terakhir buat kali pertama di samping Mickelson dan Hadwin - pemain Kanada dengan tiga penamat 10 terbaik dalam tiga musim terakhir di gurun California - Long berkata, tumpuan terhadap rakan sepermainannya bermakna dia tidak begitu dipedulikan.

Mickelson, yang mendahului sepanjang minggu selepas catatan 60 yang menakjubkan pada pusingan pembukaan, berakhir dengan tiga bawah par 69 bagi 15 bawah par 263, yang mana dia disertai Hadwin yang turut par lubang terakhir bagi lima bawah par 67.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 12:22 PM