DAREN meraikan kemenangan ketika menentang Yuqi pada suku akhir Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Bukit Jalil. -Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
DAREN meraikan kemenangan ketika menentang Yuqi pada suku akhir Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Bukit Jalil. -Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Helmi Talkah


KUALA LUMPUR: Tiga wakil negara yang dilabel ‘underdog’ mencuri tumpuan pada suku akhir Masters Malaysia di Arena Axiata, Bukit Jalil, hari ini selepas masing-masing berjaya melakar kejutan menyingkirkan pilihan utama.

Mereka adalah perseorangan lelaki profesional, Liew Daren, perseorangan wanita Goh Jin Wei dan beregu lelaki Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

Daren yang juga pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2018 paling membanggakan apabila mengejutkan pemain nombor dua dunia dari China, Shi Yuqi 21-12, 16-21, 21-18.

“Jika sebelum main anda tanya saya, memang saya tak jangka boleh menang kerana dia baru saja menjuarai Pusingan Akhir Jelajah Dunia 2018 (bulan lalu). Cuma saya mahu buat yang terbaik.

“Namun, apabila saya menang set pertama, ia meningkatkan lagi keyakinan saya. Motivasi saya dalam kejohanan ini adalah untuk memperbaiki kedudukan ranking dunia.

YEW Sin (kiri) dan Ee Yi ketika menentang Kamura dan Sonoda. -Foto BERNAMA
YEW Sin (kiri) dan Ee Yi ketika menentang Kamura dan Sonoda. -Foto BERNAMA

“Saya layak ke separuh akhir kejohanan ini tahun lalu dan Masters Thailand (minggu lalu) saya tidak bermain dan ranking saya jatuh.

“Jadi, ranking penting buat saya kerana saya mahu layak ke Olimpik Tokyo 2020,” kata pemain ranking ke-31 dunia itu ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Juara Terbuka Perancis 2012 itu akan menentang pemain nombor lima dunia dari Korea Selatan, Son Wan Ho bagi perebutan tempat ke final, esok.

“Ia satu lagi perlawanan yang sukar untuk saya menentang Wan Ho kerana dia pemain utama dunia. Namun, saya menewaskannya pada kejohanan ini (pusingan pertama) tahun lalu, jadi ia memberikan keyakinan,” katanya.

JIN Wei ketika menentang He Bingjiao. -Foto BERNAMA
JIN Wei ketika menentang He Bingjiao. -Foto BERNAMA

Sementara itu, giliran pemain nombor tujuh dunia dari China, He Bingjiao menjadi mangsa Jin Wei apabila dia menumbangkan pilihan kelima kejohanan itu 21-15, 21-16 pada suku akhir.

Sebelum ini, Jin Wei cemerlang dengan menumbangkan pemain nombor lima dunia, Akane Yamaguchi dari Jepun pada pusingan pertama.

Menantinya di separuh akhir esok bekas juara dunia yang juga pilihan keenam, Ratchanok Intanon dari Thailand.

Dalam acara beregu lelaki, Ee Yi-Yew Sin membuktikan mereka juga antara pasangan yang perlu diberi perhatian apabila membenam pilihan kedua, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda dari Jepun 21-19, 21-16.

Ia kemenangan kedua dilakar pasangan ketiga terbaik negara itu ke atas Kamura-Sonoda selepas turut menewaskan lawan itu pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 9:47 PM