AKHYAR (kanan) masih memiliki kontrak besama Kedah hingga penghujung 2019.
AKHYAR (kanan) masih memiliki kontrak besama Kedah hingga penghujung 2019.
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) dan ‘bintang baharunya’, Akhyar Rashid bakal berdepan hukuman penggantungan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekiranya Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berjaya membuktikan wujudnya unsur 'tapping up' atau 'curi' pemain kepada badan induk dunia itu.

KFA sebelum ini mendakwa, JDT menggunakan taktik 'pintu belakang' untuk berurusan dengan Akhyar tanpa persetujuan KFA yang masih memiliki kontraknya hingga penghujung 2019.

Menurut peguam undang-undang sukan, Zhafri Aminurashid, skuad Harimau Selatan boleh dikenakan perintah larangan membeli pemain sehingga empat jendela perpindahan bersamaan dua musim dengan Akhyar pula yang 'tidak menghormati' kontrak bersama skuad Helang Merah boleh digantung empat hingga enam bulan oleh FIFA.

"Hukuman itu (penggantungan oleh FIFA ke atas JDT dan Akhyar) hanya berlaku sekiranya KFA berjaya membuktikan bahawa wujudnya kesalahan dilakukan JDT dalam proses mengikat Akhyar kepada FIFA," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Bagaimanapun, beliau menganggap peluang KFA untuk memenangi kes itu agak tipis selepas membawa kes berkenaan kepada Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) gara-gara tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Status FAM sebelum ini.

"Dalam statut FAM jelas menyatakan bahawa mana-mana kes yang dibawa ke Jawatankuasa Rayuan FAM tidak 'valid' lagi untuk dibawa ke FIFA ataupun CAS (Mahkamah Timbang Tara Sukan) kerana Jawatankuasa Rayuan adalah sebuah badan bebas yang mana keputusannya adalah muktamad dan CAS tiada bidang kuasa untuk mendengarnya semula.

"Bagaimanapun, KFA boleh mencuba. Namun mereka perlu mengikut saluran yang betul, malah kosnya mungkin mahal dan mereka juga perlu memastikan bukti yang cukup untuk dibawa ke Switzerland.

"Kesilapan KFA hanya satu, kerana membiarkan isu ini dibawa ke Jawatankuasa Rayuan FAM dan sepatutnya selepas Jawatankuasa Status membuat keputusan, mereka perlu terus bawa kes ini ke FIFA sekiranya tidak berpuas hati," katanya.

Begitupun, beliau menyatakan tindakan Akhyar untuk berhijrah meninggalkan Kedah tidak salah kerana statut FAM dan FIFA jelas tidak menghalang pemain dengan syarat harus membayar baki kontrak kepada pasukan asal dan kontrak yang ditandatangani Akhyar juga membenarkan dia untuk berbuat sedemikian.

"Mengikut Peraturan Status dan Perpindahan FIFA serta FAM, secara jelas menyatakan mana-mana pihak di dalam kontrak berhak untuk menamatkan kontrak dengan lebih awal dengan syarat bayaran baki kontrak perlu dibayar untuk melepaskan pemain atau pasukan tersebut daripada tanggungjawab yang dipersetujui di dalam kontrak.

"Disebabkan itu, FAM memperkenalkan klausa pelepasan pada tahun 2017 untuk membolehkan pasukan baharu membayar jumlah yang dinyatakan di dalam klausa dan menghalang daripada kewujudan masalah “tapping up” ini berulang seterusnya membuat perbincangan dengan pemain. Di dalam soal ini Kedah tidak menggunapakai klausa pelepasan itu," katanya.

Terdahulu, 'drama' membabitkan perpindahan pemain muda negara itu terus berpanjangan selepas KFA dilihat tetap enggan melepaskan pemain sayap lincah itu kepada JDT dan menegaskan Akhyar masih milik mereka.

Malah, KFA bertegas akan membawa kemelut ini ke pengetahuan CAS bagi menuntut hak ke atas pemain berusia 19 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 6:30 PM