PSM perlu beri maklum balas segera mengenai dua padang di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO/NSTP
PSM perlu beri maklum balas segera mengenai dua padang di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO/NSTP
Saiful Affendy Sapran


KUALA LUMPUR: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) diharap dapat memberi maklum balas segera kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sama ada dua padang di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dapat digunakan untuk Final Siri Hoki yang berlangsung dari 26 April sehingga 4 Mei tahun ini.

Ini selepas padang 2 dilaporkan tidak dapat digunakan untuk saingan Liga Hoki Malaysia bermula dengan perebutan Piala Tan Sri P Alagendra bermula 3 Januari ini berikutan permukaan padang yang tidak rata.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, maklum balas daripada PSM cukup penting kerana pihaknya ingin tahu status sebenar kedua-dua padang itu.

"Masalahnya sekarang bukan padang 2 saja  tetapi padang utama juga ada kerosakan. Yang saya ingin tekankan adalah padang utama ini kerana ia adalah untuk kegunaan perlawanan sebenar di saingan itu nanti.

"Sebelum ini kami sudah pun memaklumkan masalah ini kepada PSM dan sekarang kami menunggu maklum balas daripada mereka boleh atau tidak padang ini digunakan untuk kejohanan itu nanti.

"Sebab sebelum bermulanya kejohanan, wakil FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) pasti akan hadir untuk melakukan pemeriksaan terhadap kedua-dua padang," katanya.

Jelas Subahan, andai kedua-dua padang itu tidak boleh digunakan, maka pihaknya perlu memikirkan alternatif lain.

"Mungkin kami akan memindahkan venue kejohanan itu di Stadium Tun Razak sebab saya lihat keadaan padang di situ juga sangat baik," katanya.

Subahan mengakui secara peribadi kecewa dengan keadaan padang di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil kerana ia baru saja dinaik taraf sebelum berlangsungnya temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), Ogos tahun lalu.

"Saya tak mahu salahkan sesiapa. Cuma yang penting ketika ini kami perlu kata putus segera daripada PSM," katanya.

Dua pasukan terbaik daripada Final Siri Hoki akan mara ke Acara Final Kelayakan Olimpik hujung tahun depan yang menjadi peringkat terakhir sebelum layak beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Selain Malaysia selaku tuan rumah, pasukan lain yang turut mengambil bahagian adalah Austria, Kanada, Itali, Wales, Vanuatu, China dan Brazil.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 7:19 PM