PROTES yang dilakukan baju kuning. FOTO/AGENSI
PROTES yang dilakukan baju kuning. FOTO/AGENSI
AFP

PARIS: Empat lagi perlawanan Ligue 1 dijadual berlangsung minggu ini termasuk pertembungan antara kelab kendalian Thierry Henry, Monaco dan seteru setempat Nice ditunda sebagai langkah berjaga-jaga terhadap keganasan 'baju kuning' yang memprotes atas kenaikan kos sara hidup di Perancis.

Liga Perancis (LFP) berkata, perlawanan di Stade Louis II dibatalkan susulan arahan daripada kerajaan di Mediterania 'dengan kerjasama' pihak berkuasa di wilayah Alpes-Maritimes termasuk Nice.

Pertembungan malam minggu antara Saint-Etienne dan Marseille dan aksi esok antara Angers dan Bordeaux juga ditunda atas arahan pihak berkuasa tempatan.

Sementara itu, kunjungan Nantes ke Nimes yang dijadual esok juga ditunda.

Yang terbaru, perlawanan Paris Saint- Germain dengan Montpellier dan kunjungan Lyon ke Toulouse yang dijadual esok juga ditunda atas sebab keselamatan dan ada kemungkinan kesemua perlawanan liga bakal ditunda.

Sejak 17 November lalu, pihak penunjuk perasaan memakai jaket kuning berwarna terang menyekat jalan sebagai protes terhadap kenaikan cukai diesel.

Demonstrasi bertukar menjadi ganas Sabtu lalu dengan 412 orang ditahan selepas satu kekecohan berlaku di tengah Paris. Satu lagi demonstrasi dijadual berlangsung hujung minggu ini.

Pertembungan tetangga Cote d'Azur dilihat bakal menyaksikan Monaco bertemu Nice, sebuah pasukan kendalian Patrick Vieira, bekas rakan pasukan Henry di Arsenal dan di pasukan kebangsaan Perancis.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 10:10 AM