ROELANT OLTMANS
ROELANT OLTMANS
Jugjet Singh


BHUBANESWAR: Skuad Pakistan berterima kasih kepada ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans yang banyak membantu benteng pertahanan mereka dalam perlawanan pembukaan berdepan Jerman, semalam.

Pengurus pasukan, Hassan Sardar memberi penghargaan itu dengan berkata Oltmans menguatkan sistem pertahanan skuad itu ketika lapan bulan bersama mereka.

“Beliau adalah jurulatih pertahanan yang bagus dan kami memanfaatkan apa yang dipelajari ketika beliau bersama kami,” kata Hassan.

Pakistan tewas tipis 1-0 kepada Jerman dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D semalam namun Malaysian Tigers turut tewas dengan kekalahan 7-0 kepada Belanda.

Oltmans bagaimanapun baru sahaja bersama skuad kebangsaan pada Oktober lalu dan beliau tidak boleh dipersalahkan terhadap kekalahan besar skuad negara dengan masa begitu singkat ini.

“Kami datang ke sini untuk menang setiap perlawanan dan menghampiri kemenangan menentang Jerman. Saya yakin akan lebih baik menentang Malaysia yang menjadi misi kami bagi menewaskannya dan melayakkan diri  kepusingan seterusnya,” kata penjaga gol Pakistan, Imran Butt.

Statistik lima perlawanan antara Malaysia dan Pakistan di Piala Dunia pula menyaksikan Pakistan memenangi kesemua perlawanan dengan Oltmans kini hanya mempunyai tiga hari lagi bagi membaiki pertahanan negara sekali gus memecah benteng Pakistan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 1:34 PM