DEPAY meraikan jaringan pertama ketika menentang Juventus. FOTO AFP
DEPAY meraikan jaringan pertama ketika menentang Juventus. FOTO AFP
Agensi

Barcelona: Barcelona memulakan kempen 2021/22 dengan bergaya selepas menewaskan Juventus 3-0 dalam perlawanan Trofi Joan Gamper, awal pagi tadi.

Aksi yang berlangsung di Stadium Johan Cruyff disaksikan 3,000 penonton dan yang pertama sejak pemergian Lionel Messi.

Nama pemenang enam kali Ballon d'Or itu dinyanyikan penyokong tuan rumah dalam perlawanan pra musim berprestij dengan Juve yang menyenaraikan Cristiano Ronaldo dalam kesebelasan mereka.

Barcelona tak perlu menunggu lama apabila membuka tirai jaringan pada minit ketiga menerusi Memphis Depay yang sebelum ini meledak tiga gol dalam aksi pra musim bersama kelab baharunya. Dia yang berpindah dari Lyon dengan perpindahan percuma merembat kencang melepasi jangkauan penjaga gol, Wojciech Szczesny selepas mendapat hantaran Yusuf Demir.

Ronaldo gagal mencetuskan impak sepanjang 45 minit di atas padang selepas dikawal ketat namun masih mampu mencemaskan gawang Barca apabila meledak rembatan kencang pada babak pertama manakala dua percubaan Alvaro Morata diselamatkan penjaga gol, Neto.

Tuan rumah menambah jaringan pada minit ke-57 menerusi tandukan Martin Braithwaite hasil sepakan sudut Depay yang gagal ditepis penjaga gol gantian Mattia Perin.

Barca mengesahkan kemenangan hasil rembatan dari jarak 18 meter pemain muda, Riqui Puig sekali gus memberikan masa depan yang cerah buat pengendali, Ronald Koeman selepas ketiadaan Messi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 8:04 AM