ROGER FEDERER
ROGER FEDERER
Reuters

LONDON: Roger Federer berpeluang mencuri tumpuan pada aksi pembukaan dalam penampilan ke-16nya di Pusingan Akhir ATP namun tewas mengejut kepada Kei Nishikori 7-6(4), 6-3, awal pagi tadi.

Selepas Kevin Anderson menewaskan Dominic Thiem dalam perlawanan menarik, penonton memenuhi 02 Arena untuk menyaksikan satu lagi aksi bertenaga Federer.

Sebaliknya mereka dihidangkan dengan 34 ‘unforced errors’ pemain legenda Switzerland selain insiden dengan pengadil perlawanan.

Melengkapkan malam yang suram untuk Federer, dia menerima amaran dari pengadil Damian Steiner pada set pertama apabila memukul bola ke arah penonton.

“Beliau sangka saya marah, sebenarnya tidak. Kini saya marah kerana tewas,” kata Federer yang akan berdepan Thiem esok dalam perlawanan yang perlu menang untuk menghidupkan peluang mara ke separuh akhir buat kali ke-15.

“Saya gembira untuk menang, ia tidak pernah mudah apabila beraksi menentang idola. Ia sentiasa cabaran yang besar menentangnya, jadi ia adalah kemenangan yang hebat,” jelas pemain kesembilan dunia, Nishikori yang bakal berdepan Anderson selepas ini.

“Saya perlu mengubah corak permainan menentangnya kerana sudah dua kali tewas kepadanya dalam tempoh dua bulan,” tambahnya.

Thiem dikejutkan pemain Afrika Selatan, Anderson yang tampil buat kali pertama, menang set pertama perlawanan pembukaan di Lleyton Hewitt.

Pemain Austria cuba bangkit pada set kedua dan mengheret ke tie-break sebelum kecundang 6-3 7-6(10).

Tanpa diragui naib juara Wimbledon itu paling mencuri tumpuan semalam apabila muncul pemain pertama Afrika Selatan sejak Wayne Ferreira layak ke Pusingan Akhir ATP pada 1995.

Dia cemerlang menafikan kebangkitan Thiem dengan menafikan beberapa mata penamat di tie-break set kedua sebelum meraih kemenangan menerusi pukulan ace kali ke-13 dan mengajak penonton menyertainya untuk menyanyikan lagu hari jadi kepada isterinya, Kelsey.

Kejohanan Gustavo Kuerten Group, menampilkan pemain nombor satu dunia dan pemain utama seperti Novak Djokovic, Marin Cilic, Alexander Zverev selain penampilan pertama pemain AS, John Isner, bermula semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 12:55 PM