AKSI Murray ketika menentang Haase di  Rotterdam. FOTO AFP
AKSI Murray ketika menentang Haase di Rotterdam. FOTO AFP
AFP

Rotterdam: Andy Murray bangkit daripada ketinggalan satu set sebelum meranapkan hasrat pemain tuan rumah, Robin Haase untuk kemenangan pertamanya tahun ini dalam jelajah ATP di Rotterdam awal pagi tadi.

Bekas pemain nombor satu dunia itu gagal melepasi pusingan pertama pada ATP sulungnya musim ini di Montpellier minggu lalu dan hampir pulang awal sekali lagi apabila tewas mudah set pertama di Belanda.

Tetapi juara tiga kali Grand Slam bangkit bertenaga sebelum menang 2-6, 7-6 (7/2), 6-3 dan mara ke saingan 16 terakhir menentang pemain kelayakan dari Amerika Syarikat, Marcos Giron atau pilihan keempat dari Russia, Andrey Rublev.

Pemain Britain itu yang kini menduduki ranking ke-123 dunia selepas bergelut dengan kecederaan pangkal paha menyelamatkan dua mata break pada 'game' ketujuh di set kedua sebelum menguasai tie-break.

Pemain berusia 33 tahun itu ketinggalan 0-3 pada set ketiga tetapi kembali temui momentum pada masa yang tepat untuk meraih kemenangan.

Murray yang terlepas Terbuka Australia selepas positif Covid-19 hanya beraksi Jelajah ATP keduanya sejak Oktober lalu.

Bintang Jepun, Kei Nishikori meraih kemenangan pertamanya tahun ini selepas mengatsi cabaran pilihan ketujuh dari Kanada, Felix Auger-Aliassime 7-6 (7/4), 6-1.

"Ia perlawanan yang sengit. Servisnya berkualiti terutama pada set pertama dan meraih banyak mata daripada servis pertama,'' kata Nishikori.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 10:47 AM