RUIZ (tengah) bergelut dengan pemain Genoa, Luca Mazzitelli dan Stephane Omeonga pada perlawanan di atas padang becak sebelum Napoli menang 2-1, awal pagi hari ini. FOTO Reuters.
RUIZ (tengah) bergelut dengan pemain Genoa, Luca Mazzitelli dan Stephane Omeonga pada perlawanan di atas padang becak sebelum Napoli menang 2-1, awal pagi hari ini. FOTO Reuters.
Reuters

MILAN: Napoli melakar kemenangan 2-1 di Genoa dalam aksi Serie A awal pagi hari ini, mengatasi keadaan padang yang becak susulan hujan lebat pada awal babak kedua.

Christian Kouame memberikan Genoa gol pendahuluan pada babak pertama, namun selepas permainan tertangguh kira-kira 10 minit pada awal babak kedua hingga hujan berhenti, Fabian Ruiz menyamakan kedudukan dan pemain Genoa, Davide Biraschi menjaringkan gol sendiri.

Kemenangan itu meningkatkan moral Napoli yang memperagakan karakter mengagumkan dan menyesuaikan diri dengan baik dengan padang sekalipun menyaksikan bola tersangkut dalam air bertakung berulang kali.

Napoli melonjak ke tangga kedua dengan 28 mata daripada 12 perlawanan, tiga mata di belakang pendahulu Juventus yang bertandang ke AC Milan, awal pagi esok.

Sepakan Lorenzo Insigne terkena palang buat Napoli, namun Genoa mendahului pada minit ke-20 menerusi tandukan Kouame, yang mudah melonjak mengatasi Elseid Hysaj untuk menyempurnakan hantaran lintang Romulo dari kanan.

Keadaan padang bertambah teruk selepas rehat dan sekalipun ia mungkin menjejaskan corak permainan hantaran pendek Napoli, pelawat tampil lebih kuat di sebalik gangguan itu.

Di sebalik bermain dalam lumpur, mereka mampu menyamakan kedudukan susulan corak hantaran biasa mereka apabila Dries Mertens menguis hantaran Allan ke kaki Fabian, yang merembat masuk sepakan kaki kiri melepasi penjaga gol Ionut Radu pada minit ke-62.

Empat minit sebelum tamat, Mario Rui melakukan sepakan percuma leret ke dalam kawasan penalti dan Biraschi yang tertekan, tersepak bola ke dalam gol sendiri.

Genoa, yang mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dan tidak menang dalam lima perlawanan di bawah kendalian jurulatih baru Ivan Juric, membantah keras mendakwa Biraschi ditolak namun pengadil mengesahkan gol itu selepas merujuk VAR.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 10:07 AM