REAKSI Ronaldo selepas menjaringkan penalti ketika menentang Genoa. - FOTO EPA e
REAKSI Ronaldo selepas menjaringkan penalti ketika menentang Genoa. - FOTO EPA e
AFP

CRISTIANO Ronaldo menyempurnakan penalti pada minit ke-96 bagi membolehkan Juventus menewaskan Genoa 2-1 sekali gus merampas kembali takhta Serie A awal pagi tadi manakala Napoli hanya mampu seri 2-2 menentang Atalanta.

Ronaldo tidak beraksi ketika seri 1-1 di Leece pada Ahad lalu dan Juve nyaris tercicir lagi mata di Turin selepas jaringan pendahuluan menerusi tandukan Leonardo Bonucci tidak bertahan lama apabila Christian Kouame menjaringkan gol penyamaan.

Penyerang Portugal itu tidak bernasib baik apabila jaringannya pada lewat permainan dibatalkan VAR angkara offsaid sebelum dia menjaringkan penalti kemenangan selepas dikasari Toni Sanabria.

Rembatan rendah Ronaldo gagal dijangkau penjaga gol, Ionut Radu untuk gol kelimanya dalam aksi liga musim ini dan melonjakkan skuad Maurizio Sarri mengatasi Inter Milan di takhta Serie A.

"Ia perlawanan sukar menentang pasukan yang beroganisasi dengan baik tetapi Juve perlu teruskan momentum sehingga tamat,” kata Ronaldo kepada Sky Sport.

"Kami ‘merana’ malam ini tetapi kami mencipta banyak peluang dan berhak menang.”

Genoa yang beraksi kali kedua di bawah kendalian Thiago Motta beraksi 10 pemain hampir keseluruhan babak kedua selepas Francesco Cassata diarah keluar padang manakala pemain gantian Juve, Adrien Rabiot dilayang kad merah selepas melakukan dua kesalahan.

Atalanta dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk memaksa keputusan seri 2-2 di San Paolo yang menyaksikan Carlo Ancelotti dan pembantunya dilayangkan kad merah.

Roma pula mengatasi Napoli di tempat keempat selepas membelasah Udinese 4-0 walaupun beraksi tanpa Federico Fazio yang mendapat kad merah pada minit ke-31.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 8:15 AM