ROMA (jersi kelabu) menewaskan CSKA 2-1. FOTO/AGENSI
ROMA (jersi kelabu) menewaskan CSKA 2-1. FOTO/AGENSI
Reuters

MOSCOW: AS Roma berada di ambang layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara apabila gol pertama Lorenzo Pellegrini dalam pertandingan itu memastikan mereka menang 2-1 ke atas CSKA Moscow yang beraksi 10 pemain, awal pagi tadi.

Perlawanan itu ditentukan dalam tempoh empat minit pada babak kedua apabila CSKA, yang baru saja menyamakan kedudukan 1-1, kehilangan seorang pemain selepas Hordor Magnusson dibuang padang dan Pellegrini meledak gol kemenangan buat kelab Serie A itu.

Roma, yang melengkapkan dua kemenangan ke atas kelab Russia itu dalam Kumpulan G, mengumpul sembilan mata selepas empat perlawanan dengan CSKA meraih empat mata. Real Madrid, yang membenam Viktoria Plzen 5-0, turut merekod sembilan mata namun menghuni tangga kedua berdasarkan rekod pertemuan dengan Roma.

Roma, yang layak ke separuh akhir musim lalu, mendahului menerusi tandukan Kostas Manolas pada minit keempat dan Alessandro Florenzi serta Edin Dzeko mensia-siakan peluang untuk menambah gol sebelum rehat.

CSKA mencetus ancaman sebelum rehat apabila Georgi Shchennikov menanduk melepasi palang gol sekalipun pintu gol ternganga buatnya.

Mereka bagaimanapun menyamakan kedudukan enam minit selepas rehat apabila Ilzat Akhmetov meluru ke dalam kotak penalti dan mengumpan kepada Arnor Sigurdsson, pemain remaja Iceland yang merembat masuk melepasi Robin Olsen.

Kad merah buat Magnusson lima minit kemudian kerana terjahan keras ke atas Justin Kluivert dan Roma pantas menggunakan kesempatan itu.

Rembatan liar Bryan Cristante singgah di kaki Pellegrini dan pemain berusia 22 tahun itu mengatasi Igor Akinfeev dari sudut sukar ketika pertahanan CSKA mendakwa dia berada dalam keadaan ofsaid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 12:23 PM